WASHINGTON, 18 JUN – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) didapati bersalah selepas didakwa menyamar sebagai pramugara untuk mendapatkan tiket penerbangan percuma sekurang-kurangnya 120 kali sejak tahun 2018.
Menurut Oddity Central, tertuduh, Tirone Alexander, 35 tahun, dituduh oleh pihak pendakwa persekutuan kerana memasuki kawasan larangan lapangan terbang secara tidak sah dan melakukan penipuan dalam talian sepanjang tempoh enam tahun, dari 2018 hingga 2024.
Menurut dokumen mahkamah, Alexander mengambil kesempatan ke atas dasar industri penerbangan yang membenarkan kakitangan kabin dan juruterbang dari syarikat penerbangan lain untuk menaiki pesawat secara percuma. Walaupun beliau pernah bekerja sebagai pramugara dengan syarikat penerbangan serantau antara tahun 2013 hingga 2015, beliau tidak lagi layak untuk kemudahan tersebut.
Namun, Alexander didapati mengisi borang daftar masuk dalam talian dengan memilih pilihan ‘pramugara’, sambil memberikan maklumat palsu seperti nama majikan, tarikh mula bekerja dan nombor lencana – maklumat yang nyata sekali tidak disemak oleh pihak berkenaan.

“Pihak pendakwaan menunjukkan bukti bahawa Alexander menyamar sebagai pramugara bagi tiga syarikat penerbangan lain,” kata kenyataan rasmi Jabatan Kehakiman AS. “Akhirnya, Alexander menempah lebih daripada 120 penerbangan secara percuma dengan mendakwa secara palsu bahawa beliau adalah seorang pramugara.”
Antara destinasi yang dilaporkan termasuk Atlanta, Dallas, Las Vegas dan Los Angeles, dengan penipuan dilakukan merentasi empat syarikat penerbangan berbeza. Sepanjang tempoh itu, beliau menyatakan kononnya bekerja untuk tujuh syarikat penerbangan dan menggunakan lebih 30 kombinasi nombor pengenalan dan tarikh mula kontrak.
Mahkamah mendapati Alexander bersalah atas empat pertuduhan penipuan dalam talian yang masing-masing membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara, serta satu pertuduhan memasuki kawasan terhad lapangan terbang secara tidak sah, yang boleh membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.
Hukuman rasmi dijadualkan akan diumumkan pada 25 Ogos ini. – Agensi