Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki ditahan lempar dan koyak al-Quran

    JEMPOL, 21 JAN – Polis Malaysia telah menahan seorang lelaki kerana disyaki membuang helaian dan cebisan al-Quran di Jalan Besar Palong, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata tangkapan dilakukan selepas polis menerima tiga laporan polis berhubung kejadian terbabit.

    “Polis menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan telah nampak seorang lelaki menaiki motosikal melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong semalam. Selain itu, polis turut menerima dua laporan penemuaan helaian dan senaskah al-Quran di atas jalan raya itu.  

    “Suspek ditahan bersama senaskhah al-Quran dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di Jempol hari ini.

    Hoo berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berumur 37 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Permohonan reman terhadapnya akan dibuat di mahkamah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A dan 427 Kanun Keseksaan. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda