Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun telah ditahan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) semasa gerakan operasi pemeriksaan di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau berikutan maklumat yang diterima mengenai penyimpanan dan penjualan barang-barang tegahan kastam, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hari ini, gerakan operasi berkenaan telah berjaya merampas barang-barang tegahan kastam yang disembunyikan di dalam beberapa buah bilik iaitu empat karton, 23 paket dan 15 batang rokok pelbagai jenis.
Lelaki tempatan berkenaan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Anggerek Desa untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, JKED turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang tegahan dan juga larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut.
Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.
JKED mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi maklumat berkaitan segala kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam.
Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi JKED di talian 8714422 atau pejabat kastam yang berdekatan.
