IPOH, 24 JUN – Seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah di kawasan kebun getah di Gerik, Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 65 tahun ke kebun getah berkenaan untuk mencari kayu kira-kira 3:15 petang.
Beliau berkata anak perempuan mangsa berusia 44 tahun yang berada di rumah kebun berhampiran tempat kejadian kemudian terdengar bunyi teriakan bapanya serta bunyi suara gajah.
“Selepas reda, anak perempuan mangsa bersama abang iparnya pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata pada masa itu, anak mangsa terlihat kelibat seekor gajah di kawasan tersebut dan mangsa dipercayai telah terserempak dan dipijak gajah berkenaan. – Bernama