Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lelaki maut dipukul selepas kemalangan didapati positif dadah

    PETALING JAYA, 23 FEB – Siasatan awal polis mendapati lelaki berumur 42 tahun yang maut dipercayai akibat dipukul selepas kejadian langgar lari di Semenyih, Selangor, Malaysia, Selasa lepas, positif dadah jenis ganja dan methamphetamin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

    Beliau berkata lelaki itu juga didapati mempunyai 10 rekod lampau membabitkan dadah serta satu rekod dikehendaki, juga bersabit kesalahan dadah.

    “Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh membawa kepada kematian, namun kita masih lagi menunggu ujian makmal pathologi untuk mengesan punca sebenar kematian,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung kejadian itu.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas  Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kepada ACP Shahrulnizam Jaafar di sini hari ini.

    Selain itu Hussein berkata polis juga telah menahan dua lagi suspek lelaki berusia 23 dan 40 tahun di sekitar Kajang semalam bagi membantu siasatan, dan mereka dijangka direman bagi membantu siasatan. 

    “Keseluruhannya polis telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dalam kes ini. Dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lelaki itu juga telah membuat laporan polis,” katanya.

    Dalam kejadian pada 9:20 malam itu, sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum pemandunya ditarik keluar oleh sekumpulan lelaki lalu dipukul, diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan berhampiran keretanya.

    Pihak ambulans yang tiba kemudiannya mengesahkan pemandu itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, mengulas tentang kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin 6 Dis lepas Hussein berkata, tiada maklumat baharu diperoleh oleh pihaknya walaupun wang RM20,000 ditawarkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan.

    “Sehingga hari ini tiada individu tampil untuk memberikan maklumat baharu mengenai kes berkenaan, bagaimana kami tidak berputus asa dan akan terus menjalankan siasatan,” katanya. – Bernama

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri) memeriksa kawalan kehormatan Polis Diraja Malaysia sempena Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...