KOTA BHARU, 12 NOV – Seorang lelaki berusia 34 tahun lemas selepas mengalami sawan dan kepalanya tersembam ke dalam tong berisi air di bilik air kediamannya di Taman Arus Permai, Jalan Padang Rokma, Tumpat, Kelantan pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP, Mohd Khairi Shafie, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4:01 petang dan mangsa, seorang warga tempatan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
“Bedah siasat telah dijalankan dan punca kematian diklasifikasikan sebagai lemas. Kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama