Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan memalsukan dokumen, pada 2014.
Mohammad Zulhusni bin Sani, 28, mengaku bersalah kerana memalsukan surat pelepasan bank yang kononnya dikeluarkan oleh Hongkong Shanghai Banking Corporation (HSBC) sekitar Julai 2014.
Dalam memutuskan hukuman, Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menganggap perbuatan tertuduh itu sudah dirancang yang mana hukuman penjara adalah sesuai dikenakan kepada tertuduh berbanding denda.
“Hukuman penjara sesuai dikenakan sebagai peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan serupa,” tegas Majistret Dewi Norlelawati.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amiriah binti Haji Ali mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 465 Kanun Jenayah yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun dan juga denda.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada 10 Julai 2014 pergi ke BIBD At-Tamwil untuk membuat permohonan pembiayaan barangan pengguna namun dimaklumkan oleh kakitangan BIBD At-Tamwil yang memeriksa sistem perbankan bahawa tertuduh perlu mendapatkan surat pelepasan daripada HSBC terlebih dahulu untuk membolehkannya meneruskan permohonan tersebut.
Tertuduh bagaimanapun telah memalsukan surat pelepasan bank yang kononnya daripada HSBC yang menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang pinjaman kad kredit bersama HSBC.
Pada 11 Julai 2014, tertuduh sekali lagi pergi ke BIBD At-Tamwil untuk menyerahkan surat pelepasan bank.
Kakitangan yang bertugas menghubungi kakitangan HSBC untuk memastikan kesahihan surat itu dan hanya dimaklumkan bahawa HSBC tidak pernah mengeluarkan surat kepada tertuduh.
Tertuduh mengaku memalsukan surat itu menggunakan komputer riba isterinya dan mencetaknya di kedai bagi membolehkannya membuat pinjaman.
Hukuman tertuduh berkuatkuasa pada tarikh pengakuan salah direkodkan iaitu 22 Februari.