LONDON, 26 NOV — Lelaki tertua di dunia, John Tinniswood dari Britain, meninggal dunia pada usia 112 tahun di rumah penjagaan di Southport, barat laut England, menurut Guinness World Records yang memetik kenyataan keluarganya hari ini.
Tinniswood dilahirkan di Liverpool pada 26 Ogos 1912 dan menghembuskan nafas terakhir semalam. Beliau diiktiraf sebagai lelaki tertua dunia pada April lalu, menggantikan warga Venezuela, Juan Vicente Perez, yang meninggal dunia pada usia 114 tahun.
“Beliau menghabiskan hari terakhirnya dikelilingi muzik dan kasih sayang,” kata keluarganya dalam satu kenyataan, sambil merakamkan penghargaan kepada semua yang menjaganya sepanjang hayat.
Dilahirkan pada tahun ketika Titanic tenggelam, Tinniswood turut menyaksikan kedua-dua Perang Dunia dan mengaitkan umur panjangnya dengan ‘nasib semata-mata.’
“Awda sama ada hidup panjang atau pendek dan tiada banyak yang boleh dilakukan mengenainya,” katanya kepada Guinness World Records.
Namun, beliau turut menasihatkan agar menjalani kehidupan secara sederhana untuk kekal sihat.
“Jika awda minum terlalu banyak, makan berlebihan atau melakukan apa-apa secara melampau, akhirnya awda akan menderita,” tambahnya.
Semasa Perang Dunia Kedua, Tinniswood berkhidmat dalam peranan pentadbiran di Royal Army Pay Corps sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan di syarikat minyak global, Shell dan BP.
Sepanjang hidupnya, beliau merupakan penyokong setia kelab bola sepak Liverpool dan mempunyai rutin menikmati ikan dan kerepek pada setiap hari Jumaat.
Ketika ini, rekod wanita tertua dunia dipegang oleh Tomiko Itooka dari Jepun, yang berusia 116 tahun. – AFP