Meskipun baru setahun jagung dalam industri seni, namun nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan bukan lagi asing.
Sejak awal kemunculannya di kaca televisyen pada 2016, nama Hawa Rizwana pantas mendaki puncak populariti sebaik dikatakan mempunyai wajah seiras dengan pengacara popular, Noor Neelofa Mohd Noor.
Hal itu timbul sebaik kelibatnya kerap muncul membaca berita dan mengendalikan beberapa rancangan di saluran TV3 serta TV9.
Empunya diri yang senang disapa sebagai Hawa, 27, kemudian mengambil langkah berani dengan terjun ke bidang seni pula. Satu cabang yang penuh pancaroba.
Bagaikan sudah tersurat, beliau dilamar sebagai pengacara kekal program hiburan popular, MeleTOP menggantikan Neelofa, bersama Nabil Ahmad.
Di sebalik limpahan populariti yang diterima, wanita berdarah keturunan Arab, Siam dan Aceh yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat itu mengakui tahun 2022 dilalui dengan penuh cabaran. Tidak mengeluh dengan ujian yang menimpa, Hawa percaya pada akhirnya ada pelangi yang muncul selepas hujan panas.
“Sebenarnya banyak kejutan dan dugaan yang datang pada tahun 2022. Saya pernah melalui zaman kejatuhan. Ramai orang tidak tahu dan ada masanya membuatkan saya menangis hampir setiap hari serta susah nak bangun dari katil.
“Pun demikian, saya percaya setiap dugaan yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun melalui ujian yang sangat berat, Allah hadiahkan dengan ganjaran yang sangat besar. Jadi, jika awda berada dalam situasi sama seperti saya, bersabarlah kerana Allah tidak akan menduga hambaNya begitu sahaja,“ ujarnya kepada SinarPlus ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store Shoppes at Four Season Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak mahu mengenang semula apa yang telah berlaku, graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) itu berdoa agar tahun 2023 akan dilalui dengan lebih tenang.
“Saya juga harap dapat menjadi individu yang lebih matang, bijak membuat keputusan dan apa sahaja yang saya lakukan akan membahagiakan orang sekeliling terutamanya keluarga serta rakan-rakan.
“Sebagai individu yang dikenali oleh masyarakat, saya sedar apa juga yang dilakukan akan menjadi perhatian dan jika saya silap, ia akan memberi kesan kepada keluarga,” ujarnya. – Agensi