Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lengkapkan diri dengan ilmu sebelum tunaikan haji

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Sebelum menunaikan haji, seseorang yang berhajat untuk melaksanakan ibadah haji bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dengan kesihatan fizikal dan kemampuan kewangan sebagai bekalan dan untuk keluarga yang ditinggalkannya, malah juga perlu mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu yang cukup.

    Setidaknya ada dua ilmu yang mesti dipelajari dan dihadam bagi mencapai haji yang
    mabrur iaitu ilmu tentang perlaksanaan ibadah haji (termasuk umrah) dan ilmu tentang falsafah, kelebihan dan adab haji.

    “Ini kerana, tidak semua bakal haji itu memahami dengan mudah. Ibadat haji merupakan pengorbanan, pengabdian, pengampunan dosa, menguji kesabaran, persaudaraan, melawan hawa nafsu dan sebagainya.”

    Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dalam ucapan nasihatnya selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Sijil dan Resolusi Muzakarah Pengkursus Haji dan Umrah Tahun 1444H/2023H ke-30 yang berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

    “Ibadah haji juga menghendaki bakal-bakal haji memastikan adab-adab sebelum haji ditunaikan, antaranya berniat ikhlas, bertaubat, menyediakan perbelanjaan yang halal, bekalan yang mencukupi, mencari teman yang baik.

    ATAS & BAWAH: Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim menyampaikan sijil kepada peserta muzakarah.

    Ucapan daripada tetamu kehormat.
    Antara yang hadir pada majlis penyampaian sijil dan resolusi di KHEU, kelmarin.

    “Mereka juga perlu mempelajari manasik haji, membuang sifat-sifat keji, berlapang dada, menunaikan kewajipan sembahyang, banyak berdoa dan membuat wasiat jika perlu,” tambahnya.

    Beliau juga mengetengahkan peranan guru-guru pengkursus dalam menyalurkan ilmu-ilmu dengan menyampaikan maklumat tentang ibadah berhubung kait dengan manasik haji itu kepada bakal jemaah haji dengan penuh sempurna agar bakal-bakal haji bersedia dengan ketahanan mental dan fizikal serta rohani yang mantap dan akhirnya pulang dengan mendapat haji yang mabrur.

    Beliau menambah, guru-guru pengkursus juga berperanan untuk memberikan maklumat tambahan kepada bakal-bakal haji dengan memberikan gambaran dan cabaran di bumi Arafah dan Mina, ketika melontar dan sebagainya.

    Ini termasuklah jangkaan-jangkaan yang mungkin dihadapi di tanah suci nanti selain mendedahkan perkembangan, dasar dan peraturan Kerajaan Arab Saudi yang perlu dipatuhi dari semasa ke semasa, jelasnya.

    Seramai 160 orang telah menyertai muzakarah berkenaan, yang terdiri daripada para penyelia dan guru-guru pengkursus ibadah haji dan umrah bagi musim haji tahun 1444H/2023M dari lapan buah sekolah agama yang terpilih seluruh negara.

    Ia juga disertai pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dari 12 kementerian, peserta dari syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah dan agensi-agensi pelancongan pengendali pakej umrah Visa Pelancong Arab Saudi, peserta-peserta dari Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan dan institusi-institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.

    Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Hajah Zunainah binti Haji Gunong dalam ucapannya selaku timbalan pengerusi majlis berkata objektif muzakarah berkenaan adalah untuk menyeragamkan dan menyelaras hukum-hakam yang berkaitan dengan haji, umrah dan ziarah yang akan disampaikan oleh guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah kepada bakal jemaah haji pada waktu kursus ibadat haji dan umrah.

    Di samping itu, ia juga melengkapkan dan mempersiapkan diri guru-guru pengkursus dengan ilmu mengenai ibadat haji dan juga bimbingan haji serta membincangkan
    mengenai masalah-masalah hukum-hakam yang timbul semasa pelaksanaan ibadat haji dan umrah pada musim haji tahun 1443H dan tahun 1440H yang telah lalu.

    Beliau berkata, majlis penyampaian sijil dan resolusi berkenaan merupakan kesinambungan daripada acara muzakarah di sebelah pagi yang membentangkan dua kertas kerja daripada empat orang pegawai yang arif dan berpengalaman dari Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri.

    Majlis penyampaian sijil dan resolusi turut diisikan dengan pembentangan Kertas Kerja Perdana bertajuk ‘Kelebihan Menghadapi Cabaran Perlaksanaan Ibadat Haji’ yang disampaikan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Haji Adam.

    Ia diikuti dengan pembentangan resolusi oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan, KHEU, Haji Matudin bin Haji Tahir dan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pegawai kanan KHEU, ketua Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan, pengarah-pengarah urusan syarikat pengendali perkhidmatan haji dan umrah dan agensi-agensi pelancongan pengendali perkhidmatan pakej umrah visa pelancong Arab Saudi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda