ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
DITERBITKAN oleh Orangetree Production dan diarahkan oleh Azmi Hatta, Jangan Ikut Aku merupakan sebuah siri drama terbaru yang ditayangkan di slot Seramedi di saluran TV3.
Ia membariskan ramai pelakon seperti Anas Ridzuan, Benladin, Syanie, Dazrin Kamarudin, Aishah Azman, A.Galak, Emma Maembong, Reen Rahim, Supyan Kepoh, Kazar Saisi, Azzahra Ahmad, Marisa Yasmin, Azman Jantan, Gbob, Tash Yong, Afzan A Rahman, Acong Sweetchild, Abil dan Henzi Andalas.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai Akil lakonan Anas Ridzuan dan Nabil lakonan Supyan Kepoh bersama rakan-rakan mereka Lan dan Tahir lakonan Acong Sweetchild berkhemah di sungai tempat mereka sering memancing.
Akil mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena setelah dia membuang air di salah satu kawasan sungai ketika perkhemahan tersebut.
Setelah pulang dari perkhemahan. Akil mula tidak nyenyak tidur kerana setiap malam dia akan berasa gatal-gatal badan.

Ruam-ruam halus mula keluar dari badannya. Kerja-kerja di bengkelnya tidak dapat dijalankan dengan baik kerana sudah beberapa hari akibat tidak cukup tidur.
Walaupun telah ke klinik, penyakit gatalnya tetap tidak berubah. Nabil rakan serumahnya meyuruh Akil menelefon ibunya untuk meminta nasihat kerana merasakan penyakit Akil agak pelik kerana hanya datang pada waktu malam.
Sementara itu Cikgu Shila lakonan Emma Maembong kerosakan keretanya di tepi jalan. Dia kemudiannya menghantar keretanya ke bengkel Akil.
Wajah Cikgu Shila yang menawan telah memikat hati Akil dalam diam. Teman lelaki Cikgu Shila, Sham sering membawa masalah padanya.
Suatu hari kesabaran Cikgu Shila tidak dapat dibendung lagi bila wang kutipan Persatuan Ibu Bapa Gurunya dicuri Sham. Cikgu Shila nekad untuk memutuskan perhubungannya dengan Sham.
Setelah tidak dapat mengawal lagi penyakit gatal Akil, Akil pulang ke kampung berjumpa ibunya.
Ibunya Mak Mah minta Akil mendapatkan rawatan cara kampung dengan Dukun terkenal, Tok Misai lakonan A.Galak.
Tok Misai memberitahu yang Akil ‘keteguran’ oleh Jin di dalam hutan kerana membuang di tempat kediaman jin.
Akil diminta datang keesokan harinya untuk mengambil air mandian yang dijampi Tok Misai untuk membuang gangguan-gangguan yang ada di dalam badannya.
Keesokan harinya Akil ke rumah Tok Misai dan mendapati botol berisi air berserta nota di tepi tangga rumah Tok Misai.
Akil juga mendapati ada cincin berdekatan botol air tadi. Menyangka cincin tersebut disediakan oleh Tok Misai untuknya. Akil terus memakai dan membawa balik cincin tersebut. Akil tidak sedar di dalam rumah Tok Misai telah mati dibunuh seseorang.
Akil, gembira kerana penyakit gatalnya telah hilang setelah meminum air jampi dan memakai cincin yang disangkakan ditinggalkan Tok Misai untuk kegunaanya.
Namun, tanpa Akil ketahui cincin itu ditinggalkan Tok Misai agar tidak jatuh ke tangan musuhnya iaitu Dukun Anjang Itam (Kazar).
Tok Misai telah dibunuh sebelum sempat dia memberikan air penawar kepada Akil dan kebetulan cincin itu dijumpai pula oleh Akil. Bermulalah kehidupan Akil diganggu oleh jin-jin peliharaan Tok Misai.
Akil mula tidak tenteram kerana sering diganggu jin-jin Tok Misai dan dia mula mencari dukun-dukun untuk menghalau mereka di Internet tetapi terkejut dengan bayaran mahal yang dikenakan oleh dukun-dukun tersebut.
Sehinggalah satu hari Nabil lakonan Suffian BMB, teman serumah Akil telah dirasuk oleh jin tersebut dan mengatakan akan meninggalkan Akil jika Akil berjaya menunaikan permintaan mereka.
Untuk permintaan yang pertama, Akil menunaikan permintaan Jin kecil yang diberi nama Jendul lakonan Ben Ladin. Jendul mahu Akil mendapatkan loceng kecil yang ditanam di rumah seorang kanak-kanak bernama Akmal untuk membolehkan dia kembali ke tempat asalnya.
Tanpa Akil ketahui, Jendul berbohong kepadanya kerana loceng itu dapat membuatkan Jendul kembali berdamping dan mengganggu Akmal.
Akil bersedia untuk menunaikan permintaan jin kedua iaitu permintaan Kesuma Dewi atau Bigfoot lakonan Syanie.
Bigfoot teringin sangat untuk memasuki pertandingan ratu cantik. Akil terkejut mendengar permintaan Bigfoot kerana mana mungkin dia boleh menyertai pertandingan Ratu cantik untuk manusia. Bigfoot marah kerana permintaanya tidak diterima dan mula merasuk Akil.