Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lestarikan permainan kikik masyarakat Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Apabila berbicara tentang layang-layang atau kikik, kita akan teringat akan wau yang popular di negeri-negeri semenanjung Malaysia yang sudah menjadi simbolik dan permainan tradisi masyarakat di sana.

    Namun masyarakat Melayu Brunei juga mempunyai layang-layang tersendiri yang digelar penduduk tempatan sebagai kikik.

    Proses pembuatan kikik adalah sama dengan pembuatan layang-layang tradisional lain iaitu penggunaan buluh masih digunakan sebagai rangka kikik agar tidak mudah patah apabila ditiup angin kuat.

    Apa yang menarik adalah persediaan yang sering dilakukan oleh peminat tegar salah satu permainan tradisi ini. Umpama perisai sebelum bertanding, benang akan dilumur dengan putih telur supaya benang itu licin dan tidak kembang.

    Kemudian barulah dibubuh belahan kaca yang sudah dihaluskan seperti tepung. Belahan kaca serbuk itu kemudian dicampurkan dengan bahan pelekat seperti gam lalu digosokkan pada benang tadi. Apabila sudah kering, benang itu menjadi keras dan tajam.

    Antara kikik tradisional yang terdapat di Brunei iaitu Kikik Serbang atau Sibai Dua. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Kikik Jalama (bentuk diri manusia). – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Kikik Siar Manjar atau Ikung Siar (Ekor Udang). – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    (Dari kiri) Kikik Lasik (Menjentik) dan Kikik Jangkang. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Begitulah persediaan yang sering dilakukan oleh peminat tegar salah satu permainan tradisi bagi orang-orang Brunei kita sejak beberapa kurun dahulu lebih-lebih lagi sebelum mengikuti perlawanan berpulut kikik saat tiba musimnya.

    Saat tiba musim perlawanan berpulut kikik berkenaan, benang yang sudah berbelahan kaca itu digunakan untuk memulut kikik-kikik lawan dan akan bergesel sesama benang lawan, di mana salah satu benang akan putus bergantung kepada ketajaman benang masing-masing.

    Dengan kata lain, kikik yang putus dikira kalah dan akan menjadi hak milik kepada mereka yang berjaya mendapatkannya.

    Permainan kikik awal bermula dalam lingkungan masyarakat Kampong Ayer. Bukan hanya golongan dewasa malahan suasana riuh-rendah kanak-kanak berlari-lari bermain kikik di atas jambatan pail-pail kayu itu mencetuskan kenangan menyeronokkan kehidupan masyarakat Melayu dahulu.

    Zaman silih berganti, kini hampir segalanya hanya tinggal sebagai kenangan.

    SELAMI KEINDAHAN SENTUHAN KIKIK

    Pada keluaran rencana pada kali ini, penulis ingin menjentik minda pembaca bersama untuk mengetahui serba sedikit mengenai permainan kikik yang meliputi jenis-jenis dan juga bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat kikik secara umumnya.

    Terdapat pelbagai jenis kikik yang telah dicipta dalam lingkungan masyarakat Brunei yang sememangnya memiliki keunikan bentuk dan nama yang tersendiri.

    Antaranya Kikik Serbang atau Sibai Dua, Kikik Lasik (Menjentik), Kikik Jangkang, Kikik Ragi Rantai, Kikik Jalama (bentuk diri manusia), Kikik Siar Manjar atau Ikung Siar (Ekor Udang) dan sebagainya.

    Mengimbas kembali perbualan penulis bersama salah seorang pengusaha pembuatan kikik baru-baru ini, Haji Seruji, berusia dalam lingkungan 60an itu berkata bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat kikik ialah buluh temiang, kertas nipis berwarna, benang, pisau dan pelekat daripada gam.

    Orang dulu-dulu juga menggunakan ambulung atau sagu untuk menghasilkan karya-karya sentuhan kikik peribadinya sebelum dijual langsung kepada para penggemar.

    Manakala dari segi proses pembuatan kikik pula, pengusaha pembuatan kikik itu menjelaskan ia bermula dengan mencari buluh yang cukup tua.

    Buluh itu perlu dijemur hingga kering untuk mengelakkan daripada dimakan anai-anai.

    Kemudian buluh berkenaan dibelah-belah dan diraut dengan teliti dari tengah ke tepi sehingga bilah buluh itu tinggal bahagian yang keras.

    Semasa melakukan sesi meraut, buluh temiang itu hendaklah diliut-liutkan dan ditimbang untuk menentukan keseimbangan di antara hujung sebelah kiri dan kanan.

    Kedua-dua hujung buluh itu kemudian diikat dengan benang supaya berbentuk melengkung yang dipanggil ‘alok’.

    Selepas disukat dari hujung kiri dan kanan, di tengah-tengah pembahagian itu diikat dengan benang bersama temiang lain disebut ‘tulang belakang’ agar menjadikannya lebih kukuh sebelum diikat menjadi rangka kikik.

    Benang digunakan untuk merentangi rangka kikik bagi memperbaiki lengkong yang tidak tepat.

    Apabila sudah dipaut dengan benang baharulah dilekat dengan kertas warna yang sesuai untuk menghiasi kikik tersebut.

    Sebaiknya kertas itu digunting melebihi seinci daripada bentuk rangka kikik supaya senang untuk mengenakan pelekat atau gam padanya.

    Pastikan juga bahagian ‘tulang belakang’ rangka kikik itu terlebih dahulu dibubuh gam untuk memudahkan menggunting kertas di sekeliling rangka kikik sebelum dilekatkan paut-paut misalnya dari keratan kertas-kertas kecil untuk mengukuhkan lagi kertas yang melapisi rangka tersebut.

    Proses seterusnya adalah memasang teraju yang diperbuat daripada tali atau benang dan diikat pada bilah rangka yang paling atas dan pada ‘tulang belakang’.

    Fungsi pemasangan teraju begitu mustahak bagi menentukan naik dan lenggok kikik ketika dilepaskan di udara.

    MENJADI TANGGUNGJAWAP BERSAMA

    Era pasca perindustrian dan globalisasi yang serba mencabar telah menyebabkan permainan kikik semakin dilupakan dan ditelan zaman.

    Namun pelbagai langkah boleh diambil untuk mempopularkan semula permainan tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini.

    Permainan tradisional ini adalah salah satu warisan dan budaya bangsa yang perlu dipulihara agar tidak tenggelam akibat kemodenan teknologi hari ini.

    Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah memperkenalkan permainan kikik kepada golongan muda, memperkasa pertandingan permainan kikik di setiap peringkat serta peranan media massa untuk mempopularkan semula permainan tersebut.

    Faktor-faktor sukar mendapat sambutan masyarakat kini bukanlah semata-mata disebabkan oleh kewujudan teknologi baharu malah tidak dinafikan juga disebabkan
    keadaan dan kawasan tempat bermain yang tidak sesuai dari segi keselamatan pada masa kini.

    Misalnya jika dimainkan di kawasan perumahan, ia berisiko menyebabkan kecelakaan dan kerosakan harta benda akibat tangsi ataupun tali kikik yang putus.

    Dalam hal ini, mungkin saja seseorang boleh cedera dan mengalami luka di anggota badan dan wajah ketika beriadah di kawasan perumahan mereka akibat terkena tali tangsi yang putus.

    Begitu juga halnya, jika dalam situasi kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan tersebut yang kerap berlari mengejar kikik putus tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, juga akan membahayakan keselamatan diri seperti kereta melintas yang boleh mengancam nyawa mereka.

    Selain itu, tangsi kikik putus yang dibiarkan itu boleh juga membawa kerosakan pada harta benda serta kesan calar di bahagian badan kereta.

    Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan generasi akan datang mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan warisan kikik tanpa ditelan arus kemajuan dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda