PESHAWAR, PAKISTAN, 30 JULAI – Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera hari ini akibat letupan bom di perhimpunan politik sebuah parti Islam radikal di barat laut Pakistan, kata pegawai.
Letupan itu menyasarkan parti Jamiat Ulema-e-Islam-F (JUI-F) apabila lebih 400 ahli dan penyokong berkumpul di bawah khemah di bandar Khar, berhampiran sempadan dengan Afghanistan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa di hospital kami mempunyai 39 mayat, dengan 123 cedera termasuk 17 pesakit dalam keadaan serius,” beritahu Riaz Anwar, menteri kesihatan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kepada AFP.
Gabenor wilayah, Haji Ghulam Ali mengesahkan angka kematian kepada AFP.
Imej dari tapak letupan yang tersebar di media sosial menunjukkan mayat berselerak di sekitar tempat kejadian dan anggota sukarelawan membantu membawa mangsa yang berlumuran darah ke ambulans.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu tetapi cawangan tempatan kumpulan Islamic State (IS) baru-baru ini telah melancarkan serangan terhadap JUI-F.
Kerajaan Pakistan akan dibubarkan dalam beberapa minggu akan datang sebelum pilihan raya yang dijangka diadakan pada Oktober atau November dan parti politik sedang bersiap sedia untuk berkempen. – AFP