Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lim Chun Kiat ‘paling aktif bergerak’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Meskipun berusia 53 tahun, Lim Chun Kiat boleh dikatakan antara individu yang ‘paling aktif bergerak’ setelah berjaya memenangi tempat pertama dalam cabaran 1 Bilion Langkah Bersama sekali gus menewaskan 20 peserta lainnya.

    Lim Chun Kiat semasa menerima hadiah pada acara penyampaian hadiah bagi cabaran 1 Bilion Langkah Bersama – kempen BN on the Move yang diadakan di Studio 2, Pusat Promosi Kesihatan petang tadi, turut menzahirkan perasaan gembira kerana tidak menyangka akan mendapat tempat pertama dalam cabaran tersebut.

    Menurutnya, cabaran itu merupakan suatu inisiatif yang cukup baik di mana beliau menggabungkan pergerakan setiap hari dalam bentuk riadah berjalan kaki dan larian yang mencecah lebih 400,000 langkah secara keseluruhannya.

    Antara kegiatan yang selalu dilakukannya dalam kegiatan hariannya termasuklah mendaki bukit dan berjalan kaki dengan pekerjaannya yang banyak memerlukannya berjalan dan bergerak dengan kerap.

    Beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya inisiatif seumpama ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negara ini.

    Lim Chun Kiat semasa ditemu bual menza-hirkan perasaan gembira kerana berjaya memenangi tempat pertama dalam cabaran 1 Bilion Langkah Bersama.
    Dr Hajah Norhayati bergambar ramai bersama para peserta yang mencapai langkah terbanyak dalam Cabaran 1 Bilion Langkah Bersama dan juga 10 peserta pertama yang mendaftar untuk mengikuti kempen BN on the Move dan cabaran 1 Bilion Langkah Bersama.
    Dr Hajah Norhayati semasa menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta.

    Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dalam cabaran berkenaan masing-masing disandang oleh Lim Sie Hong dan Muhammad Faiz bin Mohd Ali.

    Terdahulu, acara penyampaian hadiah yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama EVYD Technology Sdn Bhd itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat disusuli pengenalan mengenai kempen BN on the Move dan cabaran 1 Bilion Langkah Bersama. 

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada 20 peserta pertama yang mencapai langkah terbanyak dalam cabaran 1 Bilion Langkah Bersama dan juga 10 peserta pertama yang mendaftar untuk mengikuti kempen BN on the Move dan cabaran 1 Bilion Langkah Bersama. 

    Penyampaian hadiah disampaikan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim.

    BN on the Move adalah kempen khusus bagi pelan promosi kesihatan untuk memberigakan salah satu ciri baharu dalam aplikasi BruHealth. Ia dilancarkan pada 14 Ogos di Taman Haji
    Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Pelancaran kempen itu menandakan permulaan bagi cabaran 1 Bilion Langkah Bersama yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan berjalan kaki atau meningkatkan tahap kegiatan fizikal menerusi aktiviti-aktiviti senaman yang dapat meningkatkan jumlah langkah setiap hari sama ada secara perseorangan atau secara berkumpulan.

    Secara amnya, orang dewasa digalakkan menjalani gaya hidup aktif dan berjalan kaki sekurang-kurangnya 10,000 langkah setiap hari. Antara manfaat melakukan aktiviti fizikal berkenaan adalah ia mampu mencegah pelbagai penyakit, termasuk penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, kanser dan diabetes jenis II.

    Di samping itu, ia memperbaiki paras gula dalam darah, membantu mengekalkan berat badan ideal, mengurangkan berat badan dan menguatkan otot sendi serta melambatkan penuaan.

    Cabaran itu telah disertai lebih 43,000 peserta dan berjaya mencapai 1 bilion langkah dalam masa 8 hari 3 jam dan 41 minit, lebih awal berbanding tempoh satu bulan yang dijangkakan sebelumnya.

    Kempen BN on the Move dan cabaran 1 Bilion Langkah Bersama ini turut disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD), imagine Sdn Bhd, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Gleneagles JPMC, Progresif Sdn Bhd, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Royal Brunei Airlines Sdn Bhd (RB), Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Arrowtech Group, The Empire Brunei dan Fitness Zone.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...