Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima maut, 22 cedera dalam serangan di Turkiye

    ANKARA, 24 OKT – Lima orang terbunuh dan 22 yang lain cedera dalam serangan ke atas sebuah firma pertahanan Turkiye berhampiran Ankara yang menurut kerajaan kemungkinan besar dilakukan oleh pejuang Kurdish.

    “Cara tindakan ini dijalankan berkemungkinan besar dikaitkan dengan PKK,” kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, merujuk kepada kumpulan pejuang Kurdish yang telah melancarkan pemberontakan selama berdekad-dekad terhadap negara Turkiye.

    Beliau berkata usaha untuk mengenal pasti pelaku masih diteruskan.

    Sejurus selepas 3:30 petang, satu letupan besar menggegarkan ibu pejabat Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI) yang terletak kira-kira 40 kilometer di utara Ankara.

    Letupan itu mengeluarkan kepulan asap ke udara sementara bunyi tembakan kedengaran, lapor media Turkiye dalam insiden yang dikecam oleh Yerlikaya sebagai serangan pengganas.

    Pegawai polis Turkiye mengawal sebahagian jalan utama menuju ke bangunan Turkish Aerospace Industries (TAI), selepas letupan besar di ibu pejabatnya di Kahramankazan di utara Ankara pada 23 Oktober. – AFP

    Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang berada di Rusia untuk perbincangan dengan Vladimir Putin, mengutuknya sebagai serangan kejam terhadap industri pertahanan Turkiye “mensasarkan kelangsungan hidup negara kita,” katanya di X.

    Yerlikaya sebelum ini berkata tiga daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dua penyerang, “seorang wanita dan seorang lelaki”, telah “dineutralkan” tanpa menyatakan sama ada terdapat penyerang yang lain masih bebas.

    Tiada tuntutan segera untuk serangan itu tetapi Menteri Pertahanan Yasar Guler turut menuding jari kepada penjahat PKK.

    “Seperti yang selalu mereka lakukan, mereka cuba mengganggu keamanan negara kita melalui serangan yang keji dan tidak bermaruah, kita akan membuat mereka menderita atas apa yang mereka lakukan,” katanya.

    Naib presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz berkata empat daripada mangsa adalah pekerja TAI manakala yang kelima adalah seorang pemandu teksi. Laporan media sebelum ini berkata penyerang telah membunuhnya dan mengambil teksinya untuk melakukan serangan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda