Sunday, June 23, 2024
22.6 C
Brunei

    -

    Lima sekolah rendah di Sabah dipilih Projek Rintis Sekolah Digital

    KOTA KINABALU, 14 JUN – Lima sekolah rendah di Sabah dipilih untuk melaksanakan Projek Rintis Sekolah Digital ke arah melahirkan lebih ramai murid fasih digital yang mampu menggunakan teknologi secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

    Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, Kota Kinabalu; dua sekolah dari Papar iaitu SK Pengalat Kecil dan SK Buang Sayang; manakala dua lagi adalah SK Tansau dan SK Pekan Putatan di Penampang.

    Projek buat julung kali diadakan di Sabah itu menyaksikan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Didik Negara (YDN), sebuah yayasan kelolaan Kementerian Pendidikan bagi menyokong Dasar Pendidikan Digital.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata sebanyak 1,350 unit Peranti Tablet Didik Tab akan diberikan kepada lima sekolah tersebut untuk disediakan kepada murid Tahun 1 hingga Tahun 5 agar dapat digunakan sebagai buku teks digital dalam sesi pembelajaran.

    “Peranti Tablet Didik Tab ini merupakan peranti yang telah dimuat naik buku teks digital sekolah rendah dan boleh diakses tanpa menggunakan capaian internet,” katanya ketika berucap merasmikan majlis peluncuran projek itu di SK Lapasan hari ini.

    Majlis itu diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Sabah bagi mewakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

    Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin. – Bernama

    Azman Adnan ketika menghadiri sesi sidang media di Kementerian Pendidikan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia bantu tingkat kesediaan penyakit serantau

    CANBERRA, 21 JUN – Agensi sains kebangsaan Australia akan membantu negara-negara di Pasifik dan Asia Tenggara agar lebih bersedia menghadapi wabak penyakit, umum kerajaan...