Tindakan pelakon Linda Hashim berkongsi foto memaparkan kesan lebam pada bahagian pipi dan bibir di laman sosial miliknya menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengikut.
Walaupun gambar dimuat naik itu dipercayai watak lakonannya dalam sebuah drama namun ramai merasakan ada mesej cuba disampaikan Linda yang ada kaitan dengan isu rumah tangganya.
Ini termasuk dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menjadi punca dia memfailkan penceraian terhadap suami yang juga aktor Beego.
Menjawab mengenai dakwaan itu, Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, bagaimanapun meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian melulu.
Sebaliknya segalanya akan dijelaskan apabila dia hadir ke mahkamah untuk proses lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April ini.

“Saya ada dedahkan semua nanti di mahkamah. “Buat masa ini, jangan buat sebarang andaian mengenai perkongsian saya itu,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Sedar tindakannya menimbulkan spekulasi, Linda sebaliknya sudah mendapatkan nasihat sebelum memuat naik foto tersebut.
“Saya sudah lama mendiamkan diri, jadi dengan beberapa nasihat saya ambil keputusan (memuat naik gambar),” katanya.
Sebelum ini, menerusi hantaran di TikTok miliknya, Linda turut memberi bayangan berdepan situasi keganasan rumah tangga sejak 2016.
Namun dia tidak berkongsi lebih lanjut mengenai hantaran dibuat.
“Seksa di dunia, ketawa di akhirat. Sejak 2016,” tulisnya pada bahagian kapsyen.
Awal Januari lalu, Linda memfailkan cerai terhadap Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.
Sebelum itu, pada 27 Mac 2023, pasangan ini pernah bercerai talak satu sebelum sepakat kembali rujuk pada 9 April 2023.
Linda bagaimanapun mendedahkan mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun. – Agensi