Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lindungi mata ketika memancing

    Oleh Raz AS

    Pengunaan kaca mata hitam semasa memancing bukan sekadar membuatkan seseorang pemancing itu kelihatan lebih segak dan bergaya, tetapi fungsi utamanya adalah untuk melindungi mata kita daripada cahaya matahari dan sebarang objek yang boleh mendatangkan kecederaan pada mata.

    Bukan itu sahaja, sepasang kaca mata hitam yang menjalani proses polarization pada kantanya dapat membantu si pemancing untuk melihat kelibat ikan atau objek, di bawah permukaan air, dengan lebih jelas lagi berbanding kaca mata hitam biasa.

    Kanta polarized dapat menghilangkan pantulan cahaya matahari yang silau atau glare pada permukaan air, oleh itu faktor utama dalam pemilihan kaca mata adalah memastikan ia mempunyai kanta polarized selain daripada sekadar memilih berdasarkan gayanya sahaja.

    kesemua kaca mata yang mempunyai kanta polarized akan berfungsi dengan lebih baik berbanding kaca mata biasa tidak kiralah apa warna kantanya.

    Salah satu cara untuk memastikan kaca mata hitam itu mempunyai kanta polarized adalah dengan melakukan ujian di hadapan skrin komputer.

    Penggunaan kaca mata hitam ketika memancing bukan sekadar untuk kelihatan segak dan bergaya, tetapi untuk melindungi mata daripada cahaya matahari dan objek yang boleh mendatangkan kecederaan pada mata.
    Salah satu cara untuk memastikan kaca mata hitam itu mempunyai kanta polarized adalah dengan melakukan ujian di hadapan skrin komputer.

    Pegang kaca mata hitam awda secara mendatar di hadapan skrin, awda akan dapat melihat skrin komputer melaluinya, tetapi apabila ia dipegang secara menegak pula, sekiranya kanta tersebut polarized, skrin komputer akan kelihatan hitam.

    Kaca mata polarized seperti kaca mata hitam lainnya juga datang dengan kanta yang pelbagai warna, yang setiap satunya sesuai digunakan dalam keadaan yang tertentu.

    Kaca mata berkanta kelabu merupakan yang paling versatil untuk kegunaan memancing dalam pelbagai keadaan.

    Ia dapat berfungsi dengan baik dalam semua kondisi cahaya dan memberikan kontras yang baik.

    Walau bagaimanapun sekiranya cahaya keadaan sekeliling suram, penglihatan awda juga akan menjadi terlalu gelap.

    Kanta berwarna coklat, ambar atau tembaga pula merupakan pilihan yang sesuai digunakan semasa keadaan yang mengalami perubahan kondisi cahaya yang berterusan.

    Kanta berwarna sedemikian membolehkan lebih banyak cahaya masuk ke mata berbanding kanta kelabu, oleh itu ia merupakan pilihan yang sesuai digunakan pada waktu awal pagi, senja dan cuaca mendung.

    Bagi waktu awal pagi dan lewat petang, mahupun ketika di mana keadaan tidak ramai yang akan menggunakan kaca mata hitam, kanta warna kuning adalah pilihan ideal.

    Kanta ini membolehkan lebih banyak cahaya masuk berbanding kanta lain, menjadikannya sesuai digunakan pada kondisi cahaya rendah.

    Meskipun begitu ia tidak sesuai digunakan ketika matahari terik.

    Oleh itu gunakan ia sebagai peralatan untuk melindungi mata daripada objek bahaya berbanding daripada untuk cahaya.

    Bagi pemancing-pemancing di lautan biru, pilihan terbaik untuk digunakan ketika panas terik adalah kaca mata yang mempunyai kanta biru.

    Ia mengehadkan cahaya daripada memasuki mata oleh itu ia sesuai digunakan ketika panas terik dan pantulan cahaya yang kuat di permukaan air.

    Kanta biru boleh memberikan perlindungan terbaik pada mata awda untuk masa yang lama daripada terik mentari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...