Sunday, June 16, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lindungi media dan wartawan, pastikan arus perdana dipercayai

    KOTA KINABALU, 22 MEI – Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berharap pihak berkepentingan, pemilik agensi media dan kerajaan akan memainkan peranan dalam melindungi estet keempat iaitu media dan golongan wartawan.

    Presidennya, Datuk Muguntan Vanar berkata kesemua pihak berkenaan juga perlu memastikan media arus perdana kekal sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai untuk masyarakat.

    “Sebagai sebuah persatuan, kami (SJA) telah menyaksikan banyak media arus perdana (syarikat) ditutup atau mengecilkan operasi, susulan hasil pengiklanan berkurangan dengan ketara. Ramai wartawan yang bagus telah hilang kerja atau terpaksa menjadi wartawan sambilan bagi mencari nafkah,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata bagi memastikan industri media di negeri ini terus maju, semua wartawan harus mempelajari, menghayati serta mendalami nilai-nilai dan elemen kewartawanan supaya membolehkan wartawan menghasilkan berita berintegriti tinggi dan tidak berat sebelah secara konsisten sekali gus menyediakan fakta yang tepat.

    Muguntan menyatakan bahawa kewartawanan dipraktikkan berpandukan tadbir urus sendiri berdasarkan etika dan amalan tidak bertulis, iaitu tidak seperti profesion lain kewartawanan tidak memiliki undang-undang bertulis namun mempunyai etika yang perlu dipatuhi.

    Beliau berkata pelbagai undang-undang di negara ini turut memberi kesan kepada wartawan, sehubungan itu cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia dilihat mampu menyediakan beberapa garis panduan.

    Muguntan berkata tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa industri media akan menjadi tidak relevan dalam tempoh terdekat memandangkan ia ditentukan oleh pengguna, integriti, pandangan serta kredibiliti.

    Justeru, katanya kerelevanan kewartawanan itu bergantung pada kekuatan mereka, menegakkan dan memperjuangkan integriti media serta kecekapan wartawan.

    Beliau turut menekankan kepentingan wartawan dalam memahami perbezaan yang wujud dalam masyarakat di Malaysia untuk memperjuangkan perpaduan selaras dengan etika dan amalan kewartawanan. – Bernama

    Datuk Muguntan Vanar (dua kanan) dalam Majlis Aidilfitri Media pada 6 Mei. SJA berharap pihak media dan wartawan dilindungi dan arus perdana terus dipercayai. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India bawa pulang jasad 45 mangsa kebakaran di Kuwait

    KOCHI, 14 JUN - Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di sebuah bangunan di Kuwait kelihatan berduka di terminal lapangan terbang India hari...