LIVERPOOL, 7 FEB – Liverpool bangkit daripada kekalahan pusingan pertama tempoh hari untuk mara ke final Piala Liga dengan kemenangan 4-0 ke atas Tottenham semalam, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengurus Spurs, Ange Postecoglou.
Cody Gakpo, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk masing-masing menjaringkan gol untuk The Reds, dan akan bertemu Newcastle di Wembley pada 16 Mac untuk merebut trofi pertama musim ini di England.
Liverpool kekal di landasan untuk meraih quadruple dalam musim debut impian untuk Arne Slot. Mereka mendahului dengan enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris, mara ke kelompok 16 Liga Juara-Juara dan akan menentang Plymouth dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad.
“Untuk sampai ke final sentiasa istimewa,” kata Slot. “Ia adalah persembahan yang sangat baik daripada pemain.”
Sebaliknya, kemarau trofi Tottenham berterusan. Tottenham kali terakhir memenangi trofi pada tahun 2008 dan Postecoglou kini kehilangan satu peluang lagi untuk memenuhi janjinya untuk memenangi trofi pada musim kedua.
Terdapat spekulasi bahawa pengurus Australia itu mungkin dipecat jika keputusan buruk berterusan ketika bertandang ke Aston Villa dalam Piala FA hujung minggu ini dengan Spurs berada di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-2_08022025.jpg)