LIVERPOOL, 2 JULAI – Liverpool bersedia untuk memperkukuhkan lagi bahagian tengah mereka dengan menandatangani pemain antarabangsa Hungary, Dominik Szoboszlai dari RB Leipzig, menurut laporan semalam.
Saluran BBC dan Sky Sports melaporkan pasukan gergasi bola sepak Inggeris itu telah memberitahu Leipzig bahawa mereka akan mene-bus klausa pelepasan pemain berusia 22 tahun itu bernilai 70 juta euro.
Szoboszlai telah menjaringkan 20 gol dalam 91 perlawanan sejak menyertai kelabJerman tersebut pada Januari 2021 selepas berpindah dari RB Salzburg. Dia turut dilihat tiba di United Kingdom untuk menjalani pemeriksaan perubatan dengan Liverpool.
Liverpool sedang mencari pemain tengah selepas gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tujuh tahun.
Sekiranya berjaya, Szoboszlai akan menjadi pembelian kedua Liverpool dalam jendela perpindahan musim panas ini selepas menyambar pemain yang menjulang Piala Dunia bersama Argentina, Alexis Mac Allister, dari Brighton dengan harga £35 juta. – AFP