LONDON, 27 FEB – Liverpool menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris setelah tewaskan Newcastle 2-0 kelmarin.
Dengan Arne Slot yang menonton dari jauh setelah dihukum, Liverpool menjarakkan 13 mata di atas Arsenal yang di tangga kedua melalui jaringan Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister.
The Reds kelihatan semakin pasti untuk memenangi Liga Perdana buat kali pertama sejak 2020, yang akan sama dengan Manchester United dengan rekod 20 gelaran juaran Inggeris.
Setelah menang 2-0 menundukkan juara yang semakin pudar, Manchester City pada Ahad lalu, anak buah Slot terus bersemangat untuk menjadikan perlumbaan kejuaraan sebagai perarakan.
“Selepas menewaskan Man City, semua orang begitu positif maka orang ramai mula yakin dan berpuas hati,” kata Slot.
Szoboszlai menjaringkan gol dengan penyudah klinikal pada minit ke-11 dan jaringan seterusnya oleh Mac Allister pada minit ke-63 menjadikannya 20 menang dan hanya satu kalah daripada 28 perlawanan liga musim ini.
Pada musim pertamanya selepas menggantikan Jurgen Klopp, Slot telah memberikan impak yang menakjubkan, yang mungkin juga termasuk kejayaan Liga Juara-Juara dan Piala Liga.
The Reds bakal menentang Paris Saint-Germain dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara minggu depan dan berdepan perlawanan semula dengan Newcastle di Wembley dalam perlawanan akhir Piala Liga pada 16 Mac. – AFP
