Pelakon Indonesia, Luna Maya menjadi tumpuan ramai selepas kad undangan perkahwinannya bersama aktor Maxime Bouttier tersebar.
Memetik laporan mStar, disebabkan itu ramai mahu mendapatkan kepastian tentang khabar gembira itu dari mulutnya sendiri.
Ketika bertemu media pada majlis pelancaran filem terbaharunya, Luna bagaimanapun memilih mengunci mulut dan enggan memberi sebarang komen mengenainya.
Malah dia juga memberi alasan enggan mendatangkan kemudaratan apabila ramai wartawan berasak-asak untuk mendapatkan jawapan.
“Saya tidak mahu cakap jika begini caranya.
“Ini membahayakan semua orang,” jawabnya ringkas ketika majlis tayangan filem Jalan Pulang.

Dia kemudian berlalu pergi meninggalkan orang ramai yang berada di lokasi berkenaan.
Sebelum ini, kad undangan pernikahan tertulis nama Luna dan Maxime mula tersebar namun tiada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua pihak.
Menerusi maklumat berkenaan mereka akan bernikah pada 7 Mei ini di Ubud, Bali.
Luna sebelum ini berkongsi khabar gembira dilamar Maxime ketika mereka berada di Jepun. – Agensi