Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lure tangkap pemancing, bukan ikan?

    Oleh Raz AS

    Pernahkah awda mendengar ungkapan “kebanyakan lure (umpan tiruan) yang dijual adalah untuk menangkap pemancing, bukannya ikan”? . Ungkapan tersebut seakan-akan tidak masuk akal, kerana bukankah lure itu tujuannya digunakan untuk menangkap ikan. Namun itulah yang sering diungkapkan atau diperbahaskan dalam arena pancing global.

    Dari perspektif kita sebagai pembeli dan pengguna, ya, lure yang kita beli itu sememangnya akan kita gunakan bagi tujuan untuk menangkap ikan. Namun dari perspektif pengilang, pembuat dan pembekal lure tentu sahaja sasaran yang ingin mereka ‘tangkap’ sama sekali bukan ikan, tetapi kita manusia, lebih tepat lagi pemancing. Ikan tidak akan memberikan keuntungan kepada mereka, tetapi pelanggan yang membeli lure yang mereka jual.

    Untuk itu pengilang-pengilang dan pembekal lure ini tentu sahaja cuba sedaya upaya mengiklankan produk-produk lure terbaharu mereka, yang kononnya lebih inovatif, revolutionari, lebih berkesan untuk menangkap ikan berbanding lure lain yang ada dan pelbagai lagi slogan-slogan menarik untuk ‘menangkap’ pemancing.

    Antara salah satu cara mengiklankan lure dengan sangat berkesan tentu sahaja dengan menaja dan membayar pemancing-pemancing profesional dan personaliti-personaliti pancing terkenal untuk menggunakan dan bercakap mengenai lure tersebut, yang konon-kononnya merupakan lure terhebat yang pernah mereka gunakan, telah membantu mereka memenangi pertandingan, mendapat lebih banyak tangkapan dan pelbagai lagi kisah kejayaan.

    Namun hakikatnya, ia sama saja dengan yang lain, yang bezanya cuma sedikit itu pun jika ada. Mungkin dari segi harga, warna, saiz, corak atau bahan buatannya. Contohnya lure minnow, popper, softplastic dan sebagainya, setelah berdekad-dekad dengan pelbagai keluaran baharu daripada jenama-jenama yang ada dihasilkan saban tahun, masih juga sama aksi dan cara menggunakannya. Sama sekali tidak berubah.

    Ramai pemancing yang menggalakkan penggunaan lure murah bersetuju bahawa lure mahal adalah sekadar ‘muslihat’ pemasaran. – Agensi
    Dalam tiap-tiap diri pemancing ada menaruh impian dan harapan, yang satu hari nanti kita akan bertemu dengan lure ajaib yang pasti dijamin akan disambar ikan. – Agensi

    Jadi di manakah keistimewaannya? Lure sebelumnya sudah hebat membuahkan hasil kepada pemancing di seluruh dunia, bagaimanakah setiap versi baharu yang dikeluarkan ini dikatakan lebih berkesan berlipat ganda? Adakah kerana gaya persembahannya atau renangannya yang lain cuma sedikit sudah dapat dijadikan bukti kukuh atau ia sekadar dakwaan tidak berasas bagi tujuan pemasaran agar pemancing ‘terpikat’?

    Gunalah lure daripada jenis, warna dan jenama apa pun, selagi mana tempat dan cara menggunakan lure tersebut ‘ngam’, ia masih saja akan diterkam oleh sang ikan.

    Mata kail yang diikat bulu; kepingan tin minuman yang diberi split ring dan mata kail; batu timah yang dibentuk; bongkah kayu dan gabus; sudu makan yang dipotong tangkai; semuanya tidak punya jenama dan bukan berteknologi tinggi tapi masih saja mampu dan tidak kurang hebatnya berkesan untuk menangkap ikan.

    Dalam tiap-tiap diri pemancing ada menaruh impian dan harapan, yang satu hari nanti kita akan bertemu dengan lure ajaib yang pasti dijamin akan disambar ikan. Oleh itu, apabila mendengar atau melihat ada sahaja jenis dan warna lure baharu diiklankan, terutama oleh jenama terkemuka atau pemancing terkenal, tanpa berfikir panjang kita tidak luak berbelanja meskipun sudah mempunyai jenis lure yang lebih kurang sama dalam simpanan.

    Kadang-kadang satu jenis lure itu dibeli dalam empat, lima atau lebih jenis warna yang berbeza. Kononnya, waktu begini guna warna ini, waktu begitu guna warna itu. Ikan ini suka warna ini, ikan itu suka warna itu. Semuanya mengikut kata-kata pengilang dan pemancing yang mengiklankannya.

    Sedangkan anak-anak ikan yang menjadi makanan ikan-ikan buruan kita semuanya satu warna, tidak pun berwarna-warni, berbelang-belang, berkelip-kelip, langsung tidak ada yang menyerupai warna kertas bungkusan aiskrim. Siang atau malam, air jernih atau keruh, masih juga ikan-ikan pemangsa itu mampu mengesan anak-anak ikan tersebut.

    Bercakap mengenai berbelanja pula dengan kebanjiran pelbagai jenama di pasaran, lure boleh diperolehi daripada harga semurah $1, atau mungkin ada yang lebih murah lagi, sehinggalah ada yang mencecah harga ratusan ringgit.

    Sama juga seperti pakaian dan barangan lain seperti beg dan dompet, kadang-kadang kita manusia lebih mementingkan rupa, jenama dan tanda harga, berbanding kegunaan asalnya. Pemancing juga tidak berbeza dalam hal ini dalam pemilihan lure. Ada antara kita memilih lure mahal semata-mata kerana jenama. Ada juga antara kita yang berfikir, mahal itu lebih berkualiti dan lebih berkesan memikat ikan.

    Mungkin dari segi kualiti, ya. Selalunya lure mahal lebih tahan lasak, lebih menarik dan hidup warnanya, lebih kuat matakailnya, lebih halus buatannya. Yang semua ini sebahagian besarnya adalah untuk menarik perhatian pemancing semata-mata. Namun jika dibandingkan dari segi keberkesanannya, tidak ada bukti yang dapat mengatakan bahawa lure mahal lebih berkesan berbanding lure murah, sama ada dari segi kuantiti atau saiz tangkapan.

    Bahkan, sebaliknya terdapat banyak kes tangkapan dibuat menggunakan lure murah. Bukan pula bermaksud lure murah jauh lebih berkesan, tetapi lure mahal yang dibeli hanya tersimpan dalam kotak pancing kerana “sayang” untuk digunakan, takut tersangkut atau putus, terutama di kawasan berstruktur.

    Ramai juga pemancing yang menggalakkan penggunaan lure murah bersetuju bahawa lure mahal adalah sekadar ‘muslihat’ pemasaran. Jika anda pernah menggunakan lure mahal dan murah, anda pasti tahu bahawa keduanya sama-sama efektif digunakan.

    Lure yang berharga $10 tidak kalah dengan yang berharga $20 ke atas. Yang berharga $5 juga sama berhasilnya dengan yang berharga $10. Begitu juga yang hanya berharga $2 ke $3. Oleh itu tidak wajar memilih untuk membeli lure mahal jika yang murah pun dapat membuahkan hasil yang sama.

    Tidak salah untuk mempunyai lure yang pelbagai atau mahal, namun perlu diingat mempunyai banyak peralatan yang banyak dan mahal bukanlah faktor kejayaan melainkan kemahiran pemancing itu sendiri dan kawasan tempat memancing. Lure adalah untuk memancing ikan, Jangan sampai terpancing olehnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda