Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak kelmarin.
Anugerah tersebut disampaikan Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim.
Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, M Nasir atau Mohd Nasir Mohamed, 67, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai kemuncak dalam karier seninya sejak 45 tahun lalu.
“Bagi saya penghormatan ini satu anugerah yang besar dan mereka (UPSI) antara pihak yang mengikuti perkembangan seni saya secara dekat.
“Penghormatan ini juga membuktikan bahawa UPSI antara pihak yang menyokong serta mengangkat bidang seni ke peringkat tertinggi,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai perjalanan seninya, M Nasir berkata dia bakal menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi. – Agensi