BELAIT, 4 OGOS – Persatuan Malayali Brunei Darussalam (MA) menganjurkan Kejohanan Badminton ke-8 di Gelanggang Tertutup Pusat Insani, Seria, baru-baru ini.
MA menganjurkan pelbagai acara sukan sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental ahli masyarakat.
Terdapat 28 buah pasukan yang mengambil bahagian dalam pelbagai kategori seperti Bawah 15 Tahun, Beregu Campuran, Beregu Lelaki dan Beregu Wanita. Acara itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 200 orang penonton yang menghadiri kejohanan tersebut.
Semasa kejohanan itu, johan Kategori Beregu Lelaki telah disandang oleh Nikhil dan Ranju. Kategori Beregu Campuran pula dimenangi oleh Yagi dan Rafiq.
Sementara itu, Crema Fernandez dan Jyotsna Naidu menjuarai Kategori Beregu Wanita manakala pemenang bagi Kategori Beregu Kanak-kanak pula ialah Sri Ram VeL dan Vihaan.
Hadir bagi menyempurnakan hadiah kepada para pemenang ialah ahli Jawatankuasa MA (AJK MA). Mereka mengucapkan tahniah kepada peserta dari seluruh Brunei dan seluruh masyarakat kerana menyokong acara tersebut.
Setiausaha Sukan MA, Ajosh, turut mengucapkan penghargaan kepada semua AJK MA kerana telah mengatur acara sukan yang tidak dapat dilupakan itu.