Penyanyi Malaysia Shiha Zikir terpaksa berputih mata menanggung kerugian akibat ditipu oleh seorang pelanggan di restoran miliknya.
Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 37, salah seorang kakitangannya seolah-olah dipukau ketika menerima tempahan sebanyak 150 bungkus nasi ayam itu.
“Semalam ada seseorang datang buat pesanan dan beritahu akan ambil hari ini (Jumaat). Tetapi dia langsung tak datang.
“Rasanya staf saya macam kena pukau sebab kami memang tidak akan teruskan pesanan tanpa bayaran penuh.
“Orang itu juga meminta staf saya buat macam-macam perkara. Mujur tidak lakukan seperti yang diminta,” katanya ketika dihubungi mStar.

Shiha sebalum itu berkongsi perkara berkenaan di laman Instagram miliknya dengan memuat naik foto 150 bungkus nasi ayam yang siap untuk diambil.
Bagaimanapun selepas kakitangannya menyiapkan pesanan tersebut, individu yang membuat tempahan itu tidak muncul seperti dijanjikan.
Menurut Shiha pesanan itu termasuk set nasi ayam selain air yang berjumlah RM2,250.
Menganggap ia sebagai salah satu cabaran dalam perniagaan, penyanyi itu reda dan akur berdepan ujian tersebut.
Malah dia juga mengambil kesempatan itu untuk menjadikan bungkusan tersebut sebagai sedekah kepada pelanggan yang hadir ke restoran miliknya.
“Macam kelakar bunyinya kongsi rezeki lepas kena scam. Tapi itulah kejadian sebenar.
“Semoga scammer itu diberi hidayah satu hari nanti,” luahnya.
Bungkusan tersebut habis diberikan kepada pelanggan lain dalam tempoh satu jam selepas Shiha berkongsi di media sosial. – Agensi