MADRID, 27 OGOS – James Rodriguez (gambar bawah) mengalami kecederaan paha ketika beraksi menentang Real Valladolid Sabtu lalu, menurut pengesahan dari Real Madrid.
James disenaraikan dalam kesebelasan utama Madrid dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 di Santiago Bernabeu, meskipun terlepas kesemua perlawanan pra musim Madrid kerana dia dikhabarkan mahu meninggalkan kelab.
Bintang Colombia itu bermain dengan baik tetapi terpaksa diganti di awal separuh masa kedua oleh Zinedine Zidane, yang menyatakan James berada dalam keadaan tidak bagus selepas perlawanan.
Satu kenyataan Real Madrid menyatakan, “Selepas beberapa ujian dilakukan ke atas pemain kami James Rodriguez oleh Perkhidmatan Perubatan Real Madrid, dia telah didiagnosis dengan masalah otot pada paha kanan. Pemulihannya akan terus dinilai.” Madrid tidak menyatakan tempoh bila James akan kembali tetapi dia dijangka terlepas kunjungan ke Villarreal dalam saingan La Liga hujung minggu ini. – AFP