MADRID, 25 OGOS – Gareth Bale dan James Rodriguez sama-sama memulakan saingan buat kali pertama selepas dua tahun, awal pagi tadi tetapi Real Madrid dinafikan kemenangan menerusi jaringan penyamaan lewat permainan Real Valladolid.
Bale dan James tampak pasti meninggalkan Madrid musim panas ini tetapi kedua-duanya diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Zinedine Zidane tanpa pemain baharu dibeli buat dua perlawanan berturut-turut. Karim Benzema tampak sudah memberikan kemenangan buat pasukan selepas dia menemui sudut gawang pada minit ke-82 di Santiago Bernabeu tetapi Sergi Guardiola menyamakan kedudukan pada minit ke-88 dan Valladolid meraih keputusan seri 1-1.
“Ia menyebabkan keadaan menjadi sukar kerana kami menjaringkan gol, kami melalui bahagian yang sukar,” kata Zidane.
“Selepas berada di depan, kami sepatutnya lebih pragmatik dan lebih yakin itu melakukan apa yang diperlukan.”
Dengan Eden Hazard dan Ferland Mendy kedua-duanya cedera, Luka Jovic dan Eder Militao diletakkan di bangku simpanan manakala Rodrygo mendapat pengalaman bersama pasukan B, tiada apa yang dapat ditunjukkan menerusi perbelanjaan 300 juta euro Madrid.
Jovic masuk dan sepakannya terkena palang tetapi skuad ini tidak begitu menyerlah dengan James memulakan perlawanan pertama di Madrid sejak April 2017, bersama Bale, yang masih digunakan selepas persembahan baik hujung minggu lalu berdepan Celta Vigo. – AFP