Sunday, March 9, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah Jerman putuskan Pfizer, BioNTech langgar paten vaksin COVID-19

    FRANKFURT, 6 MAC – Mahkamah Jerman kelmarin memutuskan bahawa syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan firma Jerman, BioNTech, telah melanggar paten dalam penghasilan vaksin COVID-19 mereka.

    Mahkamah di Duesseldorf berpihak kepada syarikat farmaseutikal AS, Moderna, yang mengemukakan tuntutan itu. Keputusan mahkamah menetapkan bahawa BioNTech dan Pfizer perlu memberikan anggaran keuntungan yang diperoleh hasil pelanggaran paten tersebut serta membayar pampasan yang sewajarnya.

    Pfizer dan BioNTech tidak menafikan penggunaan teknologi mRNA yang telah dipatenkan oleh Moderna bagi pembangunan vaksin COVID -19 Comirnaty. Namun, mereka berhujah bahawa kenyataan akhbar Moderna pada 2020 telah membenarkan penggunaannya, dengan kebenaran hanya ditarik balik selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan tamatnya pandemik pada 2023.

    Bagaimanapun, Moderna berjaya meyakinkan mahkamah bahawa kebenaran tersebut telah ditarik balik lebih awal, iaitu pada Mac 2022, melalui kenyataan akhbar berasingan.

    Pada 2020, vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech menjadi vaksin mRNA pertama yang diluluskan untuk kegunaan meluas.

    Berbeza dengan vaksin tradisional, vaksin mRNA mengandungi bahan genetik yang memberi arahan kepada sel manusia untuk menghasilkan protein yang menyerupai virus sasaran. Vaksin tradisional pula mengandungi sebahagian daripada virus yang telah mati atau dilemahkan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda