SEOUL, 7 MAC – Mahkamah di Korea Selatan mengarahkan pembebasan Presiden Yoon Suk Yeol hari ini selepas menerima permohonannya untuk membatalkan penahanan berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang dilaksanakan dalam tempoh singkat, lapor agensi berita Yonhap.
Yoon sebelum ini ditahan di pusat tahanan di Uiwang, selatan Seoul sejak 15 Januari lalu selepas disoal siasat atas tuduhan menghasut pemberontakan susulan pengisytiharannya mengenai undang-undang tentera pada 3 Disember. Dengan keputusan itu, Yoon akan dibicarakan tanpa perlu menjalani tahanan fizikal.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengumumkan keputusan itu kira-kira sebulan selepas pasukan pembelaannya mengemukakan permohonan pembatalan penahanan.
Mereka berhujah bahawa pendakwaan yang difailkan pada 26 Januari adalah tidak sah kerana dibuat sehari selepas tempoh tahanan Yoon tamat.
Menurut undang-undang, seorang suspek yang ditahan hanya boleh terus berada dalam tahanan jika pertuduhan difailkan dalam tempoh ditetapkan.
Pasukan pembelaan Yoon turut berhujah bahawa pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden tidak boleh dikategorikan sebagai satu bentuk pemberontakan dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai risiko memusnahkan bukti.
Namun, pihak pendakwa menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa risiko pemusnahan bukti masih tinggi. – Bernama
