Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mahkamah persekutuan tolak rayuan Malaysiakini dalam saman fitnah

    PUTRAJAYA, 2 JULAI – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Rayuan bahawa portal berita Malaysiakini perlu membayar ganti rugi RM200,000 kepada syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah berkaitan aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman, Raub, Pahang.

    Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, dalam keputusan majoriti 3-2, menolak rayuan Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan portal berita Malaysiakini dan tiga lagi bekas anggota pasukan editorial itu.

    Mahkamah memerintahkan Malaysiakini membayar kos RM200,000.

    Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli. Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sependapat dengan beliau manakala keputusan minoriti dibuat oleh Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Hakim Ong.

    Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Rahman berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah betul dalam menyatakan bahawa pembelaan pelaporan harus diajukan secara khusus kerana ia berbeza dan terpisah daripada pembelaan Reynolds dalam mempertahankan amalan kewartawanan secara bertanggungjawab.

    Pelaporan adalah pembelaan undang-undang umum terhadap tuntutan saman fitnah, biasanya melibatkan organisasi media menerbitkan semula tuduhan yang tidak terbukti mengenai tokoh masyarakat, selagi laporan itu tidak berat sebelah dan demi kepentingan awam.

    Pembelaan Reynolds dalam amalan kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mesti ada percubaan oleh pihak media untuk menghubungi sebelah pihak lagi, sebelum menerbitkan artikel. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda