Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Setiap kali memasuki tahun baharu, pasti ramai di antara kita yang berazam untuk berubah kepada yang lebih baik dari segi kehidupan, pekerjaan, tahap kesihatan dan sebagainya.
Inilah waktu yang sangat sesuai untuk bermuhasabah dengan menilai dan memperbaiki kesilapan dan kekurangan diri sendiri sebelum ini.
Apabila kita berazam mahu berubah kepada yang lebih baik, kita pasti mampu untuk berubah. Masalahnya ialah adakah kita benar-benar mahu berubah? Ataupun masih lagi berfikir ‘Mahu berubah ataupun tidak?’
Perkara itu antara intipati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi, dari Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, sempena program Malam Munajat kali ke-66 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) secara maya semalam dengan tajuk Sampai bila macam ani?
Acara munajat tersebut mengundang tetamu khas iaitu Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, yang mengepalai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Turut menyertai acara itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Selain itu, turut diundang ialah ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut; ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong; serta kakitangan dan para pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC), Seria.
Awang Mohammad Nasyith dalam tazkirahnya berkata, jika seseorang itu benar-benar mahu berubah kepada yang lebih baik semata-mata kerana Allah SWT, maka Allah SWT pasti akan membuka jalan untuk kita. Allah SWT akan memberi kemudahan dan kekuatan yang luar biasa.
Tetapi jika kita masih berfikir “Mahu ataupun tidak?”, sudah tentu kita akan menjadi kreatif mencari alasan untuk tidak mahu berubah. Tanya pada diri sendiri, “Sampai bila macam ani?”.
Malam Munajat kali ini turut diserikan oleh penyertaan secara maya rombongan Program Lawatan Kerja Muhibah PDI ke Putussibau, Kabupatin Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Indonesia, diketuai oleh Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop, bersama para jemaah Masjid Agung Darunnajah, Putussibau, Kabupatin Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Indonesia.
Acara juga disertai oleh jemaah dari 98 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, serta warga KHEU berserta keluarga dari kediaman masing-masing.
Sejurus selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara disusuli dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh mahasiswa Higher National Technical Education Certificate IT, Awang Muhammad Qamarul Hamizan bin Minor Absah, bersama kakitangan dan para pelajar IBTE SBC dari Surau IBTE SBC.
Acara diteruskan dengan bacaan Doa Munajat oleh Guru Besar Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut.
Sebelum mengakhiri majlis, bacaan Asma’ul Husna dipimpin oleh Awang Mohammad Iman bin Haji Ibrahim, Badan Sukarelawan Belia Daie, Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI.
Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Saufi bin Haji Suhaini, dari Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut.
Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan seharian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon
keampunan, perlindungan, rahmat dan keredaan Allah SWT. Di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan berjaya membendung penularan penyakit merbahaya seperti COVID-19.
Orang ramai sangat dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat setiap hari Sabtu dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau melalui Instagram PDI @pdi_kheu.

