Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) terus melaksanakan usaha meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y) di mana ia merupakan sebuah projek diterajui belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) di kalangan remaja dan belia.
Seramai 174 orang pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAP Masna) dan 36 orang pelajar dari Sekolah Arab Belait (SAB) telah mengambil bahagian dalam program berkenaan yang berlangsung di sekolah-sekolah berkenaan, kelmarin.
Program yang juga merupakan sebahagian daripada program kesedaran sekolah berkenaan, menyaksikan ceramah disampaikan di SMPAP Masna dan SAB oleh wakil BDAIDS Council dan Penyelaras Projek H.A.P.P.Y, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi berserta dengan aktiviti-aktiviti oleh pasukan H.A.P.P.Y.
Semasa ceramah berkenaan, Dayang Siti Kailene mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja serta menyarankan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam sebagai tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.
Program berkenaan adalah program interaktif oleh BDAIDS Council dengan harapan supaya para pelajar dapat membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran serta diamalkan dalam gaya hidup mereka.