Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Ramadan merupakan bulan yang paling sesuai untuk berkumpul dengan ahli keluarga dan sahabat handai bagi meraikan bulan suci umat Islam.
Ia juga memberikan peluang untuk membina hubungan persahabatan, hormat-menghormati dan kebaikan, jelas Dr Sumaya Rao dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Amal Berbuka Puasa bersama Ahli-ahli Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang ditaja oleh Dr Murali Rao dan Dr Sumaya Rao di Pusat Ehsan, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berserta isteri dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad berserta isteri.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), lembaga pemegang amanah dan ahli Pusat Ehsan serta jemputan-jemputan khas.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Dr Rao menyatakan bahawa melakukan kerja-kerja amal bukan sahaja mengukuhkan nilai peribadi tetapi ia juga akan membina perwatakan, apa tah lagi apabila kita melangkah ke usia lanjut, adalah lebih baik untuk memberi daripada menerima.
Manakala itu, Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta pihak swasta yang sama-sama berusaha untuk memberikan sokongan dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli Pusat Ehsan.



Beliau menyatakan bahawa Pusat Ehsan dalam menuju Wawasan Brunei 2035, tidak ketinggalan untuk menekankan pentingnya pendidikan kepada ahli-ahlinya dengan mengorak langkah ke hadapan melalui penubuhan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam
khusus bagi penuntut-penuntut berkeperluan khas.
Pada majlis itu, Dr Murali Rao dan Dr Sumaya Rao turut menyumbangkan derma berjumlah $10,000 kepada Pusat Ehsan sebagai sumbangan peribadi mereka bagi kebajikan dan kesejahteraan komuniti semasa bulan suci Ramadan.
Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin telah menerima cek sumbangan berkenaan disaksikan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi, Dr Murali Rao dan Dr Sumaya Rao telah menyempurnakan penyampaian sampul hijau kepada ahli-ahli Pusat Ehsan yang diraikan.
Dr Murali Rao dan Dr Sumaya Rao sering kali terlibat dalam pelbagai aktiviti amal bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam tetapi juga di luar negara.

