Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Majlis Dikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang diadakan selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang bermula pada 26 September lalu telah berakhir pada malam ini.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis penutup dikir yang berlangsung di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir selaku ketamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan KHEU dan jemaah masjid.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Kelebihan Selawat’ yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Yadi bin Haji Mat Yassin.
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut mengadakan majlis seumpamanya di semua surau perkhemahan ABDB dan Masjid Pulau Baru-Baru dengan tumpuan utama di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
Menyertai para jemaah selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pembangunan, Pemeliharaan dan Teknologi) di Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Haji Mohammad Norfahssin bin Haji Abdul Karim, timbalan-timbalan setiausaha tetap, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, UBD yang berlangsung di masjid berkenaan.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Majlis dihadiri oleh para pegawai, kakitangan dan pelajar-pelajar UBD serta jemaah Masjid Universiti.
Dalam pada itu, rombongan seramai 35 orang ahli Alumni Pengam-bilan Pertama Aliran Inggeris Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) 1975 – 1978 telah menyertai Majlis Dikir ke Masjid-masjid sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi kali ketiga.
Bagi tahun ini, buat kali pertama rombongan berkenaan telah berkunjung ke Daerah Temburong, iaitu ke Masjid Kampung Labu Estate, kelmarin.