Thursday, October 24, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis graduasi rai pelajar Tadika 3 dan Tahun 6

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20DIS – Sekolah St John, Kuala Belait telah mengadakan majlis graduasi bagi pelajar Tadika 3 dan Tahun 6 sesi 2022 yang diadakan di dewan sekolah berkenaan pada November lalu.

    Hadir pada majlis itu ialah pengetua sekolah, Dr Teh Keng Watt yang mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan penjaga bagi meraikan anak-anak mereka yang menamatkan pengajian.

    Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan penjaga ke sekolah, terutamanya selepas tiga tahun bermulanya wabak COVID-19. Beliau juga memuji usaha dan sokongan yang diterima oleh pihak sekolah daripada ibu bapa dan penjaga setelah mengalami masa yang sukar dalam membantu memastikan pendidikan anak-anak mereka dapat diteruskan melalui kaedah pembelajaran di rumah.

    Susulan ucapan beliau, acara dimulakan dengan majlis graduasi bagi pelajar Tadika 3 di mana seramai 55 pelajar telah menerima sijil daripada pengetua sekolah berkenaan, yang kemudiannya diakhiri dengan lagu penutup pendek bertajuk One year older one year wiser dinyanyikan oleh pelajar yang tamat pengajian.

    Dalam pada itu, seramai 66 pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan turut menerima sijil tamat pengajian daripada pengetua. Majlis turut diikuti dengan ucapan ringkas daripada wakil pelajar Tahun 6, Dayang Anna Raihana binti Hassanal Sufri, dan Muhammed Umar bin Baig, di mana mereka mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa dan penjaga serta pihak sekolah sepanjang tahun pembelajaran.

    Majlis graduasi Tahun 6 diakhiri dengan lagu penutup bertajuk Bunga Api yang dinyanyikan oleh pelajar yang tamat pengajian.

    Dr Teh keng Watt, guru dan kakitangan serta pelajar Tadika 3 yang diraikan bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda