Thursday, February 27, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis hargai mantan PPDB

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Ahli Jawatankuasa Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei yang Bersara (POLSARA) telah mengadakan Majlis Doa Arwah dan Tahlil yang diselajurkan dengan majlis penyampaian sijil penghargaan baru-baru ini.

    Hadir di majlis berkenaan ialah mantan Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu sebagai penasihat POLSARA dan isteri serta penasihat bersama, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abd Hadi serta isteri.

    Turut hadir pada majlis itu ialah 100 orang mantan pegawai kanan, mantan pegawai dan mantan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta pegawai PRO PPDB.

    Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh SM (B) Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir.

    Yang Di-Pertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim dalam ucapannya menekankan bahawa POLSARA adalah wadah bagi mantan-mantan PPDB dalam menyampaikan maklumat tentang keberadaan dan keadaan mantan selepas bersara bagi menjalin hubungan silaturahim.

    “Dengan adanya jaringan berkenaan dapatlah mantan-mantan PPDB mengetahui jika ada perkara yang dapat dibantu dalam hal kebajikan dan sebagainya. Hal ini wajar diterapkan selagi hayat di kandung badan. ‘Jasa dikenang bakti diabadikan’ merupakan moto bagi pesara-pesara serta penyumbang-penyumbang jentera aktiviti POLSARA,” tambah
    beliau.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung POLSARA, ASP (B) Haji Abdul Rashid bin Haji Kassim diiringi oleh SAC (B) Haji Majid bin Haji Awang Damit kepada mantan-mantan PPDB yang bersara dan salah satu persatuan kebajikan Negara Brunei Darussalam yang telah bekerjasama memberikan infak sumbangan bagi aktiviti POLSARA.

    Para penerima sijil penghargaan termasuk mantan Pesuruhjaya Polis, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal, Lotus Light Charity Society (LLCS) yang diketuai SAC (B) Peng Eng Lee, Koperal (B) Haji Asim bin Haji Daud dan ahli lain.

    Penyampaian sijil disusuli dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin SM (B) Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir.

    Gambar ramai mantan-mantan PPDB yang hadir pada majlis yang berlangsung baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda