Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Majlis Istiadat Gendang Jaga-jaga dibuka

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga bagi Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar telah diadakan di Lapau, hari ini.

    Majlis penuh adat istiadat tersebut disempurnakan di hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sebagai wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke majlis istiadat tersebut dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan Dato Paduka Awang Razali.

    Majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan mengadap dan menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Di-raja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah siap sedia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga bagi Istiadat Perkahwinan Diraja di Lapau, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menyabdakan supaya istiadat dimulakan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah menerima Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-jaga.- Gambar oleh Infofoto

    Juru Laki Haji Johan Areffen menjunjung Nakara di atas kepalanya.

    Setelah itu, Yang Amat Mulia menyembahkan kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota yang kemudian menyabdakan supaya istiadat dimulakan.

    Seterusnya Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan memberikan isyarat kepada Juru Laki Haji Johan Areffen supaya majlis istiadat dimulakan.

    Setelah menjunjung anugeraha, Juru Laki Haji Johan Areffen berjalan menuju Pataratna kemudian duduk dengan hormatnya serta terus mengangkat sembah kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.

    Kemudian beliau beringsut menaiki pipak tangga Pataratna satu demi satu dan terus mengambil Nakara dengan mengangkat dan mengusung di atas kepalanya lalu berjalan membelah majlis menuju ke tempat yang dikhaskan untuk meletakkan Nakara di atas kedudukannya di tengah-tengah di antara dua Gendang Labik.

    Apabila semua sudah siap sedia, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan memberikan isyarat untuk memulakan menitir Nakara.

    Juru Laki Haji Johan Areffen menitir Nakara diikuti oleh gualan Gendang Labik, tiupan Serunai, Gong dan Chanang dengan diiringi oleh tembakan meriam. Tiap-tiap Titir diikuti dengan tembakan meriam sehingga 21 das.

    Selepas itu, diikuti dengan Titir Gendang Alih-Alihan Tengah dan Gendang Alih-Alihan Hujung diikuti oleh Titir Gendang Perang yang lazim jumlah titirnya adalah mengikut jumlah orang-orang yang hadir (yang berhak digendangkan).

    Gendang Perang dititir bagi putera-putera sultan, pengiran-pengiran cheteria dan pengiran-pengiran peranakan titirnya adalah bernakara, manakala bagi pehin-pehin manteri berchiri tidak bernakara, dianggarkan 10 kali titir bernakara dan 10 kali titir tidak bernakara.

    Sebaik sahaja selesai Titir Gendang Perang, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    Juru Laki Haji Johan Areffen kemudian menjunjung anugeraha dan terus mengusung Nakara di atas kepalanya dan berjalan membelah majlis menuju ke Pataratna dan apabila sampai ke tangga Pataratna, beliau naik beringsut menaiki pipak tangga Pataratna satu demi satu dan seterusnya meletakkan Nakara yang diusungnya untuk diletakkan ke tempat asalnya.

    Sebaik sahaja Juru Laki Haji Johan Areffen keluar majlis, Yang Dimuliakan Pehin menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah sempurna dilaksanakan.

    Yang Amat Mulia kemudian menyembahkan kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah sempurna dilaksanakan.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda kepada Yang Dimuliakan Pehin supaya mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan untuk menyembahkan mengenai sempurnanya Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga.

    Duli Yang Teramat Mulia turut menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin akan dapat menyembahkan Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-jaga kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Duli Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja kemudian berangkat meninggalkan majlis.
    Majlis juga dihadiri oleh pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli majlis-majlis mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.

    Seterusnya Yang Dimuliakan Pehin akan mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga telah sempurna dilaksanakan.

    Selepas itu Yang Dimuliakan Pehin berserta rombongan yang terdiri daripada begawan-begawan pehin khatib, pehin-pehin manteri istana, begawan-begawan mudim dan juru laki membawa Kurnia Sepasukan Gendang Jaga-jaga ke tempat kediaman pengantin diraja lelaki di Assana’, Jerudong.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...