BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Istiadat Perkahwinan Diraja bagi paduka anakanda Baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah akan bermula pada 8 Januari 2023.
Pengumuman itu dimaklumkan oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, dengan Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja akan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 8 Januari 2023.
Majlis diikuti dengan Istiadat Membuka Gendang Jaga-jaga dan Majlis Istiadat Menjunjung Kurnia Gendang Jaga-jaga 9 Januari 2023.
Sementara itu, Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja, dan Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja diadakan 10 Januari.
Seterusnya, Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja akan diadakan pada 11 Januari, 2023. Manakala, Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja akan diadakan pada 12 Januari dan bersanding pada 15 Januari.
Majlis Persantapan Diraja akan diadakan pada 16 Januari dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga akan diadakan pada 17 Januari.
Seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki mengibarkan bendera mulai Gendang Jaga-jaga dibuka 9 Januari 2023 hingga Gendang Jaga-jaga ditutup pada 17 Januari 2023.
