Tuesday, April 29, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis keselamatan PBB ‘gagal cegah perang secara kronik’

    HAMILTON, 29 APRIL – Ketua Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kelmarin keganasan kini menjadi ciri utama dunia pada hari ini, sambil mengkritik Majlis Keselamatan PBB kerana gagal mencegah dan menghentikan peperangan, lapor Anadolu Ajansi

    “Ini adalah musim peperangan. Ini adalah masa krisis. Dari Sudan ke Ukraine, dari Sahel ke Myanmar, dari Republik Demokratik Congo ke Haiti, keganasan menjadi mata wang utama zaman ini.

    “Mencegah dan menghentikan peperangan adalah menegakkan keamanan dan keselamatan.  Itulah mandat Majlis Keselamatan. Itulah tanggungjawab utama awda. Dan maafkan saya kerana mengulangi — adalah tanggungjawab yang badan ini telah gagal untuk laksanakannya secara kronik. Tetapi tolong jangan menyerah kepada kegagalan diplomasi,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi kepada Majlis Keselamatan. 

    Mengenai Gaza, yang telah disekat Israel daripada bantuan kemanusiaan hampir dua bulan, Grandi berkata walaupun UNHCR tidak terlibat secara langsung dalam tindak balas PBB di situ, “situasi orang awam di sana, yang kami sangka tidak boleh menjadi lebih buruk, kini mencapai tahap keputusasaan baru setiap hari.” 

    Beliau turut menyentuh mengenai situasi di Syria, menyatakan bahawa, “buat kali pertama dalam beberapa dekad, terdapat sekelumit harapan, termasuk bagi jutaan rakyat Syria yang masih kehilangan tempat tinggal hari ini, dengan 4.5 juta daripadanya menjadi pelarian di negara jiran.” 

    “Sama ada mereka akan kekal di Syria atau, malangnya, berpindah sekali lagi — termasuk ke Eropah dan seterusnya — bergantung kepada pihak berkuasa dan juga sangat bergantung kepada kesediaan awda untuk mengambil risiko,” katanya.

    Beliau turut menyeru anggota majlis untuk melonggarkan sekatan, menyokong pemulihan awal dan mewujudkan keadaan bagi perkhidmatan asas seperti keselamatan, air dan elektrik. 

    Grandi turut memberi amaran tentang penyusutan bantuan kemanusiaan, dengan berkata bahawa, “bantuan adalah kestabilan” dan pembekuan atau pemotongan bajet bantuan, “sudah membawa akibat maut kepada jutaan nyawa.” 

    Pada akhir sesi, Grandi sekali lagi mengingatkan badan itu mengenai kebimbangan terhadap pengurangan pembiayaan operasi kemanusiaan. 

    “Jika trend semasa berterusan dari segi pembekuan dan pemotongan, yang malangnya diumumkan oleh banyak negara penderma, sistem kemanusiaan akan mengalami penguncupan yang teruk. 

    “Kami tidak dapat melakukan lebih dengan sumber yang berkurangan. Seperti yang saya katakan banyak kali, kami akan melakukan seadanya dengan sumber yang kurang,” kata Grandi, sambil memaklumkan bahawa program pendidikan dan kesihatan UNHCR telah pun dipotong.  – Bernama/Anadolu

    Filippo Grandi dalam satu persidangan di Lancaster House, London pada 15 April. Beliau menyatakan Majlis Keselamatan telah gagal mencegah perang. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda