Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Majlis Tadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan di Istana Nurul Iman berakhir malam tadi dengan majlis khatam Al-Quran.
Majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman itu dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai memulakan majlis yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis seterusnya disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran didahului oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman diikuti dengan bacaan Takhtim dan Tahlil beramai-ramai.
Kemudian Doa Khatam dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim yang seterusnya memimpin bacaan Doa Selamat.
Majlis turut disemarakkan lagi dengan Dikir Syarafil Anam dibawakan oleh pegawai-pegawai masjid yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mat Jaya bin Ibrahim yang kemudiannya memimpin Doa Dikir.
Berangkat dan turut hadir di majlis itu, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, serta setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.