Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam Al-Quran raikan bakal graduan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Seramai 234 orang bakal graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharrujh ke-11 yang berlangsung di Masjid Universiti, UBD, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Majlis khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh bakal graduan UNISSA.

    Acara kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa dan mahasiswi universiti berkenaan dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Luqmanul Hakeem bin Haji Rozaini, graduan Program Sarjana Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm).

    Kemudian acara diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena para graduan menamatkan pengajian di UNISSA yang dibacakan oleh Awang Muhammad Nazirul Azizan bin Bahren, graduan Program Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Perundangan Syariah.

    Turut hadir bagi meraikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, Rektor UNISSA selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Hafl Al-Takharruj ke-11 UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai serta kakitangan UNISSA.

    Majlis berkenaan merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl Al-Takharruj.

    Antara lain tujuan majlis diadakan untuk membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan para mahasiswa dan mahasiswi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

    Di samping bagi menggalakkan penglibatan para mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti keagamaan agar dijadikan sebagai amalan harian.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan hadir selaku tetamu kehormat majlis.
    Antara bakal graduan UNISSA yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharrujh ke-11 yang berlangsung di Masjid Universiti, UBD, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara bakal-bakal graduan yang diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda