Wednesday, September 11, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam terus semarak

    Oleh Nurdiyanah R., Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Bulan Ramadan merupakan bulan yang banyak mengandungi fadilat dan sesiapa yang mengerjakan amal ibadat pada bulan tersebut pasti akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

    Sehubungan itu pelbagai pihak telah mengadakan acara keagamaan seperti majlis khatam Al-Quran bagi menyemarakkan bulan suci ini.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), turut mengadakan majlis seumpamanya bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

    Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Majlis dimulakan dengan menunaikan solat fardu Zuhur berjemaah dan seterusnya diikuti dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam dipimpin oleh Imam Surau LTAB, Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri majlis khatam Al-Quran di Surau LTAB, kelmarin.
    Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan menyampaikan cenderahati dan hamper Syawal kepada para pelajar BIBD ALAF.- Gambar serahan BIBD
    Antara pelajar BIBD ALAF yang menyertai majlis khatam Al-Quran, kelmarin.- Gambar serahan BIBD
    Dato Seri Paduka Mohd Riza bergambar ramai bersama para peserta khatam pada majlis anjuran RB.
    Haji Sofian menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis yang dianjurkan oleh DST di Dewan Canselor UBD, kelmarin.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada para peserta bengkel anjuran Surau LTAB yang diadakan di sepanjang bulan Ramadan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.

    Selain itu, BIBD ALAF dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) perdana Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menganjurkan majlis khatam Al-Quran atas kejayaan para pelajar program menamatkan bacaan tersebut, hari ini.

    Majlis yang diadakan di surau Sekolah Menengah Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, di Kampung Katok telah dihadiri Penolong Mufti (Buhuth) di Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri serta ahli Lembaga Pengarah BIBD, pihak pengurusan kanan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan anggota pasukan petugas BIBD ALAF.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim, takhtim dan tahlil oleh pelajar-pelajar BIBD ALAF.

    Para pelajar BIBD ALAF menerima cenderahati dan hamper Syawal, diserahkan oleh Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan; Awang Junaidi; Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Haji Sofian bin Mohammad Jani atas kapasiti beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah BIBD; Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA, Dr Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; dan Timbalan Pengarah Urusan I BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

    BIBD ALAF ialah program CSR yang menyediakan bantuan kewangan, sokongan pendidikan dan bimbingan kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk membantu mereka mencapai matlamat akademik mereka.

    Program itu telah membantu lebih 300 orang pelajar sejak penubuhannya pada tahun 2013 dan telah menjadi mercu tanda harapan ramai pelajar di Brunei.

    Dalam kenyataan BIBD, Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan strategik Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, pihak berkepentingan, penaja dan sukarelawan yang telah menyumbang kepada kejayaan BIBD ALAF sejak 10 tahun lalu.

    “Kejayaan program BIBD ALAF ini juga membuktikan ketabahan dan keazaman pelajar-pelajar kita yang berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk mengejar impian mereka.

    “Kami amat berbangga dengan pelajar kami, dan insya-Allah, akan terus menyokong mereka dalam perjalanan akademik mereka,” kata Haji Yusri.

    Selain itu, Penerbangan Diraja Brunei (RB) juga mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Kampung Bang Dalam, Mukim Lamunin, Daerah Tutong, petang tadi.

    Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi RB, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; dan Pemangku Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; dan ahli Lembaga Pengarah RB; pengurusan dan kakitangan RB, serta penduduk Kampung Bang Dalam.

    Pada majlis itu, seramai 30 orang kakitangan RB telah menyertai khatam Al-Quran yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi RB, Haji Badarudin bin Haji Bagol.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan wakaf daripada kakitangan RB yang disempurnakan oleh Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza kepada wakil masjid.

    Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Abdul Hamid, berkata RB mengambil peluang untuk menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan pada bulan yang penuh keberkatan ini dengan membantu golongan masyarakat yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka terutamanya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

    Datastream Digital (DST) telah mengadakan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran serta penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

    Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Haji Sofian, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi DST.

    Majlis bermula dengan Majlis Khatam Al-Quran dengan bacaan Al-Quran secara berkumpulan oleh pasukan Tadarus DST. Majlis diteuskan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Fuad bin Matahir yang bertajuk ‘Lailatulqadar, Sedekah dan Ibadah dalam bulan Ramadan’.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang dijemput dari Daerah Brunei dan Muara.

    Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi DST, Hajah Muna Diyana binti Haji Ibrahim; ahli Lembaga DST, Dayangku Noreen Afiza binti Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Zain; dan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda