Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Majlis khatam terus semarakkan bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Bulan Ramadan yang semakin hampir ke penghujungnya ini terus disemarakkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan seperti majlis khatam yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini.

    Hari ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bekerjasama mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara sempena Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan bagi Tahun 1443H / 2022M dan Tahlil bagi Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan barang keperluan asasi bagi anak yatim, fakir miskin dan orang kurang berkemampuan dalam kalangan belia dan beliawanis masjid senegara. Sumbangan daripada Ezy Printing Sdn Bhd itu disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya pula mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang mana majlis pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

    Hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Universiti Brunei Darussalam (UBD) turut menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan daripada warga UBD kepada anak-anak yatim, balu dan mualaf warga UBD, hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Masjid Universiti bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran itu diteruskan dengan penyampaian sumbangan Tabung Universiti kepada anak-anak yatim di keempat-empatdaerah.

    Pada majlis itu, Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil penerima.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada majlis khatam di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika hadir pada majlis khatam di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
    Dr Hazri hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Universiti. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...