Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengadakan majlis penghargaan bagi Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2021 bertempat di Dewan Setia Pahlawan, kementerian berkenaan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Brunei MYCE 2021.
Beliau dalam ucapan ringkasnya semasa majlis tersebut antara lain menyatakan persidangan dan pameran itu merupakan titik permulaan bagi meletakkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah pusat mesyuarat, insentif, persidangan dan acara (MICE) setaraf dengan negara-negara lain.
Tambahnya, dengan adanya penglibatan daripada pelbagai sektor meliputi swasta, institusi pengajian tinggi, komuniti perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta penglibatan institusi tempatan dan juga luar negara yang lain diharapkan persidangan dan pameran berkenaan ini dapat mendorong sektor swasta untuk menjadikannya lebih cost-efficient dan sustainable pada masa hadapan.
Di samping itu, Brunei MYCE 2021 telah memberikan maklumat dan pengetahuan kepada para peserta yang terlibat menerusi perkongsian daripada pakar pelbagai bidang.

“Dengan pengetahuan yang diperoleh itu, ia begitu bermanfaat untuk diterapkan dan dipraktikkan sebagai misalnya dengan membuat dan memperbaiki dasar atau program yang dapat meningkatkan output sektor pertanian, pengurusan sumber hutan yang lebih lestari, meningkatkan kebersihan dan sumber tenaga yang mampan, mewujudkan pengurusan sistem zakat dan wakaf yang lebih efisien, dan mengembangkan pasaran modal Islam yang kuat.
“Diharapkan lebih banyak golongan belia yang berkemahiran dalam bidang teknologi digital dan ICT seperti pengekodan dan pengaturcaraan perisian, sejajar dengan revolusi.industri 4.0,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.
Turut hadir semasa majlis penghargaan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, setiausaha tetap-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), KSSUP, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Tenaga.
Majlis turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), Institut Kepimpinan & Kewangan Islam Brunei (BILIF), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI), IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), dan pihak media antaranya terdiri dari Radio Televisyen Brunei (RTB), Brunei Press Sdn Bhd dan Syarikat DST Sdn Bhd serta Cityneon Displays & Constructions Sdn Bhd selaku pengurus-pengurus acara bagi pameran tersebut.
Adapun persidangan dan pame-ran anjuran KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta; institusi pengajian tinggi, NGO serta penglibatan institusi tempatan dan juga luar negara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas selama sebulan sepanjang bulan Jun itu merupakan salah satu inisiatif pihak kementerian yang diadakan buat julung kalinya untuk mempromosikan perkongsian pengetahuan dan meningkatkan aktiviti perniagaan dalam pelbagai sektor.
Secara keseluruhannya, seramai 3,883 orang peserta yang hadir semasa berlangsungnya persidangan, forum dan seminar berkenaan. Manakala pameran turut dikunjungi oleh seramai 7,820 orang yang mana daripada jumlah berkenaan, seramai 2,413 orang pelajar dari 24 buah sekolah telah mengadakan lawatan ke pameran-pameran semasa berlangsung Brunei MYCE 2021 tersebut.