Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis rai 15 pelajar program tarannum

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Seramai 15 orang pelajar yang telah menamatkan Program Tarannum dan Tajwid Kohort Kedua anjuran Masjid Ash-Shaliheen diraikan pada majlis konvokesyen yang berlangsung di masjid berkenaan pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Program Tarannum dan Tajwid ini merupakan salah satu usaha murni Masjid Ash-Shaliheen untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar menjadikan Al-Quran sebagai pendamping untuk dibawa ke mana saja, dibaca dan diamalkan pengajarannya.

    Program tersebut bertujuan melahirkan generasi muda yang mahir dalam seni bacaan Al-Quran serta memahami dan menghayati hukum-hakam tajwid.

    Dalam ucapan alu-aluan, imam Masjid Ash-Shaliheen, selaku pengerusi bersama majlis, Awang Mohammad Syariff Wafiuddin bin Jemain, mengongsikan antara kejayaan program berkenaan adalah penyertaan beberapa peserta daripada program itu di dalam musabaqah belia dan dewasa, sehingga berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

    Haji Amir Hisham hadir selaku tetamu kehormat pada program yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH : Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selain itu, program itu juga berjaya membentuk pelajar yang bermula dari asas sehingga mampu mempraktikkan lagu-lagu tarannum dengan baik.

    Haji Amir Hisham dalam ucapannya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pelajar dan berharap ketekunan dan kegigihan mempelajari ilmu tajwid dan tarannum akan berterusan sampai bila-bila.

    Menerusi program tersebut, beliau berharap para peserta akan memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari dalam program berkenaan, sekali gus memantapkan lagi fungsi masjid sebagai pusat ilmu terutama dalam memberi kefahaman ilmu Al-Quran dengan pendekatan yang berkesan.

    Majlis turut diisi dengan persembahan tarannum Al-Quran oleh pelajar program, penyampaian sijil kepada pelajar dan penyampaian hadiah kepada pelajar terbaik.

    Sementara itu, kohort ketiga bagi program ini telah dibukakan dan setakat ini, lebih daripada 40 orang telah mendaftar. Program tersebut akan diperhalusi dengan menambah sesi perkongsian ilmu oleh qari-qari tempatan bagi memberikan pendedahan yang lebih luas kepada peserta.

    Majlis diakhiri dengan Doa Selamat dan Doa Penutup yang dipimpin oleh tenaga pengajar Program Tarannum dan Tajwid, Awang Ayub bin Ali, diikuti dengan sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda