Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Majlis rai 686 graduan PB

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Seramai 686 orang graduan terdiri daripada 291 orang graduan lelaki dan 395 orang graduan perempuan Kelas 2022 telah menerima sijil-sijil Diploma Tahap 5 masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-8 tahun 2022 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pelajar-pelajar tersebut telah pun menamatkan program pengajian masing-masing selama tiga tahun yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah PB, iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, dan Sekolah Sains Kesihatan yang mana Diploma Tahap 5 ini adalah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK).

    Daripada 686 graduan, seramai 209 graduan menerima sijil-sijil Diploma Tahap 5 bagi program Perdagangan, 131 bagi Teknologi Maklumat dan Komunikasi, 222 bagi program Sains dan Kejuruteraan dan 124 bagi program Sains Kesihatan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohammad Salleh.

    Acara dimulakan dengan perarakan graduan dan ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola dan ahli-ahli Senat PB ke dewan.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen PB yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Antara pelajar yang hadir pada majlis konvokesyen berkenaan.
    Graduan bergambar ramai pada majlis tersebut.

    Bagi memberkati majlis, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran telah disampaikan graduan dari program Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Awang Eddy Firdaus bin Nikman. Intisari ayat pula dibacakan oleh graduan dari program Diploma Tahap 5 dalam Kewangan dan Perakaunan Perniagaan, Sekolah Perdagangan, Aw-ang Muhammad Hanis bin Suhaimi.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah PB, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen PB ke-8, Lim Kian Boon menjelaskan bahawa majlis konvokesyen kali ini sekali lagi menggambarkan kejayaan PB dalam menghasilkan graduan-graduan untuk menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan sosioekonomi negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Lim Kian Boon turut mengongsikan perkembangan dan pencapaian PB sejak Majlis Konvokesyen PB ke-7 pada bulan Mac 2022 yang lepas.

    “Merujuk kepada petunjuk prestasi utama yang telah dikenal pasti bagi Pelan Pembangunan Lima Tahun PB, kadar pelajar yang berjaya menamatkan pengajian bagi Kelas 2022 telah mencapai 90.1 peratus. Ini menggambarkan pencapaian yang membanggakan dari segi pengajaran dan pembelajaran di PB.

    “Manakala hasil daripada Graduate Destination Study yang dilaksanakan 18 bulan selepas konvokesyen ke-6 bagi Kelas 2020 menunjukkan kadar graduan mendapat pekerjaan adalah 77.2 peratus, melebihi sasaran yang dihasratkan oleh PB.

    “Ini bermakna PB kekal relevan dalam membekalkan industri sektor awam mahupun swasta dengan sumber tenaga manusia yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” kata beliau.

    Acara kemuncak majlis adalah penyampaian sijil-sijil Diploma Tahap 5 oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan kepada graduan mengikut program masing-masing.

    Selain itu, empat anugerah iaitu Anugerah Pelajar Terbaik; Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Aktiviti Pengayaan dan Anugerah Inovasi juga disampaikan pada majlis itu.

    Majlis diteruskan dengan penyampai-an Anugerah Khas oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan kepada 14 orang pelajar pengambilan ke-10, PB.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Imam Tingkat I, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.

    Turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB dan ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB dan penaja-penaja anugerah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...