Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Majlis rai pelajar cemerlang

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Para pelajar cemerlang Tahun 6 dan murid-murid yang berjaya menamatkan pengajian Kindergarten 3 Sekolah Chung Hwa Kiudang telah diraikan dalam Majlis Tamat Pengajian dan Anugerah Cemerlang Akademik yang berlangsung di dewan sekolah itu, baru-baru ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo. Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga gabenor dan ibu bapa para pelajar serta murid-murid yang diraikan.
     
    Pengetua Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun dalam kata alu-aluannya mengumumkan pencapaian yang amat bermakna bagi sekolah berkenaan di mana sekolah itu telah mencapai keputusan lulus 100 peratus Gred A hingga C.
     
    Dalam kesempatan itu, beliau juga menyatakan penghargaan kepada ibu bapa, guru, pelajar, lembaga sekolah dan komuniti Tionghua atas sokongan berterusan mereka serta kerjasama yang diberikan yang menyumbang kepada kejayaan sekolah itu.
     
    Sementara itu, TYT Xiao dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada pengetua dan tenaga pengajar sekolah atas dedikasi serta komitmen mereka dalam menyebarkan bahasa dan budaya masyarakat Tionghua.
     
    TYT Xiao menyampaikan sijil tamat pengajian kepada salah seorang murid yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH CHUNG HWA KIUDANG
    TYT Xiao, Loo Shee Yun dan guru-guru bergambar ramai dengan para murid yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH CHUNG HWA KIUDANG
    Pada masa yang sama, TYT Xiao juga amat teruja untuk mengetahui bahawa bilangan ibu bapa bukan berbangsa Tionghua yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tionghua juga semakin meningkat di mana ia menunjukkan perkembangan positif dalam memacu kefahaman, harmoni serta membina hubungan kerjasama.
     
    Majlis diteruskan dengan persembahan tarian yang menarik daripada murid-murid tadika, rendah bawah dan rendah atas termasuk persembahan nyanyian yang menawan daripada murid-murid sekolah berkenaan.
     
    Majlis kemudian menyaksikan pengerusi lembaga gabenor sekolah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang yang diraikan. 
     
    Sementara itu, Loo Shee Yun menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid KG3 dan TYT Xiao pula menyampaikan sijil tamat pengajian kepada graduan-graduan Tahun 6 yang akan melanjutkan pengajian mereka ke peringkat menengah.
     
    Pada majlis berkenaan juga, TYT Xiao telah menyampaikan Anugerah Pengiktirafan Kehormat kepada Loo Shee Yun dan guru sekolah, Tasha bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang seramai 72 orang murid sekolah yang berjaya meraih sebanyak 13 pingat emas, 35 pingat perak dan 24 pingat gangsa dalam Pertandingan Kaligrafi Belia dan Kanak-kanak China, baru-baru ini.
     
    Di samping itu, TYT Xiao turut menyampaikan Plak Emas Pencapaian kepada Loo Shee Yun sebagai penghargaan atas penyertaan berterusan dan pencapaian sekolah berkenaan dalam pertandingan itu.
     
    Majlis berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian akademik para murid tetapi juga menekankan usaha berterusan untuk memupuk perpaduan, kefahaman dan jalinan hubungan komuniti yang kukuh.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...