Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Bagi meraikan pertumbuhan perjalanan udara dan kargo yang kukuh pada 2024 sekali gus menjadikan Asia Pasifik pasaran perjalanan udara terbesar di dunia sekali lagi, para pemimpin Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) telah berkumpul pada Majlis Resepsi Perhimpunan Pemimpin AAPA ke-68 yang diadakan di Indera Samudra Canopy, The Empire Brunei, semalam.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah AAPA, Subhas Menon. Dalam ucapan alu-aluan, Kapten Sabirin berkata RB amat berbesar hati untuk menghoskan perhimpunan pemimpin AAPA yang membentuk masa depan penerbangan di rantau ini.
Jelasnya, perhimpunan ini lebih daripada satu mesyuarat, ia adalah peluang keemasan untuk bertukar-tukar idea, memupuk kerjasama dan mengemudi industri mencapai masa depan yang lebih cerah. Keputusan dan tindakan semua akan memberikan impak yang lebih besar di Asia Pasifik dan global.
“Walaupun rantau Asia Pasifik menghadapi cabaran seperti ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kos operasi yang lebih tinggi dan kekurangan sumber manusia mahir, trafik perjalanan udara sebahagian besarnya telah pulih ke tahap pra-pandemik, dengan kebanyakan negara ASEAN menunjukkan pemulihan trafik lebih 90 peratus dan rantau Asia Pasifik menunjukkan pemulihan domestik yang kukuh serta laluan antarabangsa walaupun sedikit ketinggalan.
“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di negara-negara seperti China, India dan Asia Tenggara mendorong peningkatan permintaan untuk perjalanan udara dan ini jelas terbukti melalui berita daripada rakan-rakan syarikat penerbangan kami yang mengembangkan rangkaian mereka untuk mengakses pasaran baharu dan menyediakan pautan ke wilayah yang sebelum ini tidak menerima perkhidmatan penerbangan. Ini sememangnya berita yang menggalakkan, dan walaupun saya hanya boleh bercakap untuk RB, saya pasti semua orang di sini komited untuk memacu kemajuan dan mencapai tahap yang lebih tinggi.
Tahniah kepada semua,” ujar beliau.
Kapten Sabirin menambah kemapanan alam sekitar kekal sebagai keutamaan dengan mempercepatkan usaha ke arah peralihan kepada SAF dan menambah baik inisiatif sifar bersih.
“Kami melihat pelbagai pembangunan dasar SAF sedang dijalankan di India, Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Vietnam, Singapura, Jepun dan Australia. Strategi yang dilaksanakan termasuk mandat kepada insentif dan oleh itu kami perlu meneruskan dialog ini dengan pembuat keputusan utama bukan sahaja untuk menggalakkan pengeluaran SAF tetapi menerima pakai rangka kerja dasar yang betul bagi membolehkan syarikat penerbangan mencapai sifar bersih,” katanya.
Sementara itu, Subhas Menon antara turut menyatakan Brunei adalah lokasi yang ideal untuk perhimpunan tahun ini. Habitat semula jadinya yang kaya menawarkan inspirasi kepada perbincangan mengenai perjalanan udara pada masa depan.
Dengan tema Future Proofing Asian Aviation, perhimpunan itu akan menilai pemulihan industri dan cabaran yang dihadapi, termasuk isu-isu berterusan yang mempengaruhi penghantaran pesawat, enjin, komponen dan alat ganti tepat pada masanya.
Fokus utama akan diberikan kepada kelestarian penerbangan. Panel pakar yang mewakili syarikat penerbangan, lapangan terbang, pengeluar pesawat dan pembekal bahan api penerbangan akan membincangkan langkah untuk mengurangkan jejak karbon, sebelum para pemimpin syarikat penerbangan mempertimbangkan resolusi persidangan yang akan diumumkan pada penutup acara.
Majlis resepsi itu turut diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian mencerminkan keindahan budaya Brunei yang kaya dan unik.